L.A Reid tinggalkan Epic Records kerana Gangguan Seksual

NEW YORK: L A Reid, antara eksekutif muzik tersohor yang membina karier ramai artis termasuk Rihanna dan Justin Bieber, meninggalkan Epic Records selepas laporan menyebut beliau membuat gangguan seksual.

Reid, 60, menjawat sebagai pengerusi dan CEO Epic sejak 2011, sebuah anak syarikat Sony Music yang sudah memayungi ramai artis terkemuka termasuk Michael Jackson hinggalah Pearl Jam.

Sony Music hujung minggu lalu mengeluarkan kenyataan ringkas yang sekadar menyebut: “L A Reid akan meninggalkan syarikat.”

Beberapa laporan pada Isnin bagaimanapun menyebut, pengurusan Sony menamatkan kontrak Reid selepas beberapa aduan gangguan seksual.

The New York Post dengan memetik sumber, menyebut seorang pembantu melaporkan kepada pengurusan mengenai kata-kata dan perlakuan Reid yang tak sesuai termasuk meminta wanita itu memeluknya di katil ketika di luar pejabat atas urusan syarikat.

Reid dianggap sebagai pencetus genre, menjadi terkenal pada 1980-an menerusi irama ciptaannya, ‘smooth pop’ sekali gus membantu melonjakkan karier TLC, Toni Braxton dan Usher.

Malah, pengaruh Reid dalam bidang muzik merentas pelbagai genre dan bakat paling hebat beliau ialah keupayaan mengenal pasti artis yang akan ‘menjadi’.

Reid baru-baru ini membawa masuk Avril Lavigne, bintang R&B Rihanna dan Meghan Trainor.

Beliau juga memeterai kontrak dengan Justin Bieber dan sedang merumus langkah untuk menyemarakkan semula populariti Mariah Carey dan Jennifer Lopez. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *