Lain Kali Dekat Maghrib Jangan Biarkan Budak-Budak Masuk Hutan

11/05/2017 – Orang dulu-dulu memang pantang kalau mak bapa bawa anak kecil keluar rumah waktu malam, terutama waktu Maghrib. Tetapi ibu bapa moden hari ini ‘selamba’ sahaja mengheret anak kecil yang baru lepas pantang keluar bersiar-siar di ‘shopping mall’ waktu malam.

Tabiat ini menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat hari ini yang suka membawa anak keluar berjalan sehingga lewat malam. Setiap pantang larang itu ada baiknya diikuti.

Lelaki ini mendedahkan anaknya berumur 2 tahun berhadapan dengan penyakit mistik. Setengah jam sebelum maghrib saja kaki anak mereka tak dapat bergerak. Anggota kaki seperti lumpuh menyebabkan dia tak dapat bangun langsung. Anggota tubuh lain pula dapat digerakkan seperti biasa, cuma kaki saja tak dapat bergerak.

“Baru-baru ni aku terbaca kisah seorang wanita yang bercerita tentang anaknya yang didampingi jin. Ada yang tentu tergelak dengar cerita-cerita mistik macam ini. Kalau tak kena batang hidung sendiri memang macam tak percaya kan? Aku pun pernah alami pengalaman berhadapan dengan penyakit mistik yang menimpa anak lelaki aku yang masa tu baru berumur 2 tahun.”

“Kejadian itu bermula pada satu hari, setengah jam sebelum maghrib apabila tiba-tiba anak lelaki kami yang kami panggil Han tak dapat bergerak. Anggota kaki Han seperti lumpuh menyebabkan dia tak dapat bangun langsung. Anggota tubuh lain pula dapat digerakkan seperti biasa, cuma kaki saja (kedua-dua belah) tak dapat bergerak. Selepas menyapu minyak angin, menjelang isyak Han dapat bergerak semula.”

“Kami ingat masalah itu selesai di situ tapi rupanya tak. Esoknya kira-kira setengah jam sebelum maghrib, sekali lagi kaki Han jadi lumpuh macam semalam. Kalau dia nak ke bilik air atau nak ke dapur terpaksalah digendong sebab kakinya tak dapat digerakkan langsung. Dan menjelang isyak seperti semalam kakinya pulih seperti sediakala. Pelik!”

“Lepas 4 hari berturut-turut dia diserang penyakit pelik yang serupa dan jadi pada waktu yang hampir sama, aku dan isteri bawa Han ke Hospital Alor Setar. Lebih kurang seminggu juga dia terima rawatan di wad pediatrik hospital tu. Selama Han di sana dia dilayan dengan baik, dirawat oleh beberapa doktor pakar saraf, fisioterapi, ortopedik dan entah apa lagi kumpulan pakar yang cuba mencari jawapan kepada penyakitnya. Berbagai ujian dilakukan terhadapnya, banyak sampel darah diambil untuk diagnosis.”

“Tapi lepas lebih kurang seminggu di hospital, keadaan Han masih tak berubah. Bila hampir maghrib kakinya lumpuh tiba-tiba selama kira-kira sejam dan lepas tu pulih seperti sediakala. Doktor sendiri tak bersedia dengan jawapan yang orang biasa macam aku boleh faham apa sebenar yang berlaku. Apa yang doktor selalu ulang kata, Han tak ada tanda-tanda sakit yang serius, ujian darah semua okay. Bila ditanya mengapa dekat maghrib kakinya tak dapat digerakkan tiada jawapan pasti, kalau ada pun jawapan yang nampak sangat jawapan teragak-agak, jawapan mengelak.”

“Akhirnya satu hari Han dibenarkan keluar hospital. Sebelum keluar wad, seorang doktor lelaki Melayu menasihatkan aku untuk mencuba perubatan alternatif. Masih ingat kata-katanya: “ilmu perubatan yang dikuasai manusia terlalu kecik berbanding ilmu Allah, kami di sini cuma terlatih dengan ilmu yang diajar oleh manusia, sedang ilmu Allah tak terhitung luas dan besarnya. Teruslah berikhtiar untuk berubat kerana Allah akan sentiasa membantu hambaNya yang tak berputus asa. Jangan putus asa, Allah menguji kita dan jika kita yakin dengan ujianNya, insyallah dia akan tunjukkan kita jalan….”

“Beberapa hari kemudian atas nasihat bapa mertua, kami bawa Han pergi mendapat rawatan di rumah seseorang tak jauh dari pekan Changlun, Kedah. Kami sampai ke rumah Pak Puteh (sekarang dah meninggal) sebelum masuk waktu asar. Ketika itu Han masih boleh berjalan kerana kakinya cuma akan menjadi lemah ketika masuk waktu maghrib.”

“Tak nampak dia macam sakit pun” kata Pak Puteh sambil memanggil Han yang ketika itu sedang lasak berlari ke setiap penjuru rumah. Kami beritahu Pak Puteh penyakit itu cuma menyerangnya pada waktu menjelang maghrib saja. Pak Puteh kemudian mengurut-ngurut kaki Farhan sambil mulutnya terkumat kamit membaca doa.

“Dekat-dekat maghrib baru-baru ini ada bawa budak ini masuk hutan dak?” tanya Pak Puteh.

“Ada juga bawa dia sekali pergi bersih tanah dusun yang baru kami beli itu” kata aku, “Kami pergi lepas asar bersihkan kebun itu, bila dengar azan maghrib barulah kami balik rumah”

“Haa itu lah sebabnya! Budak ini dah terpijak anak jin kat hutan itu! Anak jin itu tak boleh jalan lepas kena pijak, sebab itu mak bapa dia marah, depa kenakan balik budak ni. Lain kali dekat-dekat maghrib jangan biarkan budak-budak masuk hutan, kita tak tahu apa ada dalam hutan.”

“Habis kenapa anak saya cuma tak boleh jalan waktu dekat-dekat maghrib saja? Masa lain kakinya okay pula?” tanya aku.”

“Makhluk halus tu biasanya dia akan balas dendam pada waktu yang sama depa disakiti. Kalau manusia sakitkan depa lepas zohor, setiap kali lepas zohor orang yang sakitkan makhluk tu akan rasa sakit, kalau lepas asar, lepas asarlah..”

“Pak Puteh kemudian bagi kami air yang telah dijampinya untuk diminum Han dan air yang sama juga perlu dijerlum ke kepala Han setiap kali lepas mandi dan sebelum masuk tidur.”

“Selepas beberapa hari mengamalkan ‘ubat’ yang diberi Pak Puteh, satu hari kami sangat gembira bila Han tak lagi menghadapi kelumpuhan sementara menjelang maghrib seperti sebelumnya. Hinggalah sekarang Han dah besar panjang, sihat walafiat. Alhamdulillah.”

“Benarlah kata doktor pediatrik tu, ilmu perubatan manusia sangat terbatas berbanding ilmu Allah. Apa yang penting jika anak-anak sakit, sebagai ibu bapa kita jangan berputus asa dan sentiasa berikhtiar berubat. Kalau perubatan moden tak berkesan, cuba pula perubatan alternatif lain (asalkan bukan perubatan bercampur tahyul dan khurafat), insyaAllah Allah akan tunjukkan jalannya,” tulisnya. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *