Liridon Krasniqi mahu Kedah kerja keras untuk jadi Juara Piala FA

PERTEMBUNGAN dua pasukan gergasi bolasepak tanah air, Kedah dan Pahang pada Final Piala FA 2017 Sabtu pasti menyajikan satu aksi yang sengit dan hanya terbaik sahaja akan keluar sebagai juara pada malam tersebut.

Pemain tengah import Kedah, Liridon Krasniqi mengakui merasai bahang kehangatan tersebut kerana Tok Gajah merupakan sebuah pasukan yang mempunyai kualiti pada semua posisinya.

Menurutnya, Hijau Kuning perlu bekerja keras dan bermain pada tahap terbaik jika mahu membawa pulang Piala FA ke Alor Setar.

“Saya mahu menang perlawanan ini walaupun tahu Pahang sebuah pasukan yang bagus dan kami perlu berhati-hati. Perlawanan akhir pastinya menarik kerana mereka mempunyai kualiti dan perkara sama juga ada pada Kedah.

Pertembungan ini sukar seperti yang kami hadapi pada perlawanan final dahulu (final Piala Malaysia 2016 menentang Selangor),” katanya yang ditemui selepas hadir bersama seorang lagi pemain import Kedah, Sandro Da Silva pada Program Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Peremba, dekat sini.

Liridon berkata, kedua-dua pasukan turut mempunyai kekuatan seimbang kerana bersaing semasa sendiri untuk menduduki kelompok dua pasukan teratas Liga Super 2017 setakat ini selain memiliki beberapa pemain yang mempunyai kemahiran individu tinggi.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada perlawanan tersebut kerana kedua-dua pasukan mempunyai masa cukup untuk berlatih bersungguh-sungguh dan sudah pasti memanfaatkan masa yang ada sebelum bertemu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kehadiran penyokong Hijau Kuning juga mampu menyuntik motivasi dan semangat kepada pemain untuk meningkatkan lagi corak permainan memburu gelaran juara.

Jelasnya, Kedah perlu memberikan segala-galanya dan akan berusaha melakukan demi penyokong yang tidak putus-putus memberikan sokongan padu kepada pasukan sebelum ini./sh