Lori tak tutup bahan muatan akan dikenakan tindakan undang-undang.

Pengusaha lori yang tidak menutup bahan muatan berat yang dibawa sehingga mengakibatkan tumpahan atau kebocoran di atas jalan raya boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana berisiko mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, ia selaras dengan Kaedah 92A Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor 1959 (pembinaan dan kegunaan) yang menyatakan bahawa pemandu dan pemilik kenderaan barang adalah bersalah jika berlaku apa-apa lelehan, tumpahan, taburan dan kebocoran dari mana-mana kenderaan bermotor.

Menurutnya, peraturan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih satu bulan bagi kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi dua bulan atau kedua-duanya sekali dan penjara bagi kesalahan berikutnya.

“Sehubungan itu, pengusaha lori yang membawa muatan berat bertanggungjawab memastikan penggunaan kain kanvas, tali fiber atau logam berskru yang sesuai bagi mengikat bahan muatan supaya tidak terjatuh semasa di jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program JPJ Kedah Fun Ride 2017 di Taman Jubli Emas dekat sini hari ini.

Ismasuhaimi berkata pihaknya mendapat banyak aduan berkaitan kebimbangan pengguna jalan raya terhadap lori-lori yang membawa muatan secara berlebihan dan tidak menutup bahan yang dibawa seperti kayu balak dan kayu getah yang menjadi keperluan dalam industri sekarang.

Menurutnya, satu perjumpaan di antara pihaknya bersama pengusaha lori dan pemain industri akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkenaan selain mendapatkan maklum balas dan memberi lebih kefahaman mengenai peraturan tersebut.

Ismasuhaimi berkata, selepas perjumpaan tersebut, JPJ akan memberi tempoh sebulan bagi memantau pengusaha lori dan sekiranya mereka gagal mematuhi arahan JPJ, tindakan saman akan dikenakan.

“Mungkin ada antara pengusaha lori membawa muatan tidak berlebihan tetapi ia masih boleh mendatangkan bahaya sekiranya bahan seperti batu-batu kecil diletakkan secara meninggi dan menyebabkan bahan tersebut mudah jatuh ke jalan raya,” katanya.

Pada program JPJ Kedah Funride 2017 tahun ini, seramai 800 peserta dari seluruh negara termasuk Thailand menyertai kayuhan sejauh 40 kilometer yang melalui kawasan Gunung Keriang. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *