Mahathir Dakwa Ahli UMNO Tak Tahu Malu Dan Kuat Membodek

19/05/2017 – Sejak keluar parti kerana kepentingan peribadi tidak ditunaikan, bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadi pengkritik lantang yang mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apa sahaja yang dilakukan kerajaan di bawah pimpinan Najib kepada rakyat dan negara, pasti akan dikritik dan diburuk-burukkan dalam usaha untuk menghasut rakyat membenci kerajaan dan pemimpin negara yang telah banyak membawa kejayaan besar kepada negara.

Meskipun puak pembangkang sering mendakwa kononnya Najib seorang pemimpin negara yang gagal kerana tidak mampu membawa Malaysia menjadi negara maju. Bagaimanapun, Najib telah membuktikan sebaliknya.

Ini dapat dilihat apabila Najib sekali lagi membawa kejayaan besar kepada Malaysia selepas meraih pelbagai peluang pelaburan dalam bidang infrastruktur untuk memajukan negara, baru-baru ini.

Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di China bagi lawatan kerja lima hari ini untuk menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Ekonomi pada 14 dan 15 Mei.

Najib juga menyaksikan majlis menandatangani sembilan perjanjian persefahaman antara syarikat Malaysia dan rakan niaga dari China yang melibatkan pelaburan dalam bidang infrastruktur bernilai kira-kira RM30 bilion.

Sikap jelik yang sukar dihapuskan dalam diri Mahathir, beliau menulis dalam blognya hari ini mendakwa kononnya ahli UMNO tidak tahu malu dan kuat membodek.

Katanya, sesetengah bangsa Melayu kini telah hilang sifat malu, hingga ada yang tidak berasa segan untuk mencuri atau membodek, walaupun pendapatannya mencukupi.

Tak cukup dengan itu, bekas perdana menteri itu juga mengatakan masyarakat sekarang ini juga tidak berasa malu apabila dipimpin oleh individu yang diketahui telah mencuri dan melakukan pelbagai jenayah.

“Ada yang apabila dituduh mencuri, orang yang tidak tahu malu akan hanya senyum. Sepatutnya perasaan malu akan menyerang masyarakat jika ada di kalangannya seseorang atau kumpulan terlibat dengan perbuatan jenayah.

“Tetapi hari ini ada orang Melayu tidak sedikit pun berasa malu jika dipimpin oleh pemimpin yang diketahui telah mencuri dan melakukan pelbagai jenayah.

“Jauh dari menjauhkan diri dari pemimpin seperti ini, ramai juga yang sanggup berkongsi hasil pencurian ini. Ada yang menolong menutup jenayah ini dan mendakwa pemimpin tidak tahu dan telah ditipu.

“Apabila pengawai yang ditugas menguatkuasa undang-undang atau aturan peraturan, disoal, tanpa segan-segan tanpa malu, mereka menyalahtafsir undang-undang,” dakwa Mahathir.

Walaupun beliau tidak menyebut siapa yang dimaksudkan oleh beliau sebagai ‘pencuri’, tetapi ia dipercayai merujuk kepada Najib, pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO.

Ini kerana Mahathir sudah beberapa kali dalam ceramah umumnya melemparkan dakwaan tidak masuk akal yang mendakwa Najib telah mencuri berbilion-bilion ringgit wang negara.

Terserlah lagi kejahatannya apabila mendakwa Malaysia kini dikenali sebagai negara kleptokrasi kerana diperintah oleh pencuri, penyamun dan perompak.

Dalam tulisannya hari ini, Mahathir juga memberi contoh orang Jepun yang sanggup membunuh diri kerana malu apabila gagal menjalankan tugasnya atau tidak sebaik yang diharapkan atau melakukan sesuatu yang tidak baik dalam pandangan masyarakatnya.

“Dalam masyarakat Melayu perasaan malu berbeza dengan orang Jepun. Mereka berasa malu jika kain terlondeh di hadapan orang.

“Jika gagal menjalankan tugas yang diberi atau diamanah, perasaan malu tidak mengganggu fikiran mereka. Jika mereka mengambil atau melesapkan duit yang diamanahkan kepada mereka juga mereka tidak berasa malu.

” Jika terjadi padanya sesuatu yang diketawa masyarakat atau dianggap tidak mengikut budaya mesyarakat Melayu perasaan malu tidak melandanya dengan kuat. Sedikit sangat perasaan malu di kalangan orang Melayu.

“Hari ini perasaan malu di kalangan orang Melayu sudah terhakis lagi. Walaupun sudah ada pendapatan yang mencukupi, tetapi jika terdapat peluang untuk melesapkan wang yang diamanah kepadanya perasaan malu tidak menghalang perbuatan yang salah ini.

“Kebanyakan bersedia menerima apa yang diberi percuma tanpa segan-segan. Punca pemberian ini tidak disoal,” dakwa Mahathir.

Malah, beliau cuba menegaskan bahawa salah satu daripada pelakuan yang tidak baik dan sepatutnya memalukan ialah amalan membodek.

“Tidak ada perasaan malu barang sedikit pun apabila dikesan dan diperkatakan tentang perbuatan yang tidak baik olehnya. Menyalahguna hak membuat keputusan kerana ingin membodek tuannya tidak memalukan orang tertentu ini.

“Masyarakat yang memiliki ramai yang tidak tahu malu tetap akan rosak dan mundur. Anggotanya dan bangsanya akan dipandang hina. Inilah yang sudah terjadi pada bangsa Melayu sekarang,” dakwa Mahathir.

Apa pun, Mahathir boleh disifatkan tidak sedar dan muka tembok kerana ketika zaman pemerintahannya dahulu, beliau telah banyak membawa penderitaan kepada rakyat sehingga digelar Maha Zalim. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *