Mahkamah Putuskan Saman Parkir MBPP Adalah Tidak Sah

19/05/2017 – Didakwa meletak kereta di luar petak di dalam kawasan bidang kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah pada tiga tahun lepas, bagaimanapun Mahkamah Khas Trafik hari ini melepas dan membebaskan peguam V. S Raveentharan daripada pertuduhan.

Tertuduh didakwa mengikut Artikel 5(1) Pengangkutan Jalan (Tempat Letak Kereta) MBPP 2014 dan boleh dihukum di bawah Artikel 50 Perintah sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000, jika sabit kesalahan.

Malah V. S Raveentharan dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri. Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid membuat keputusan itu selepas memutuskan pihak pendakwaan, iaitu MBPP gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan itu.

“Dalam satu kes saman OKS (Orang Kena Saman) tidak dimaklumkan atas kesalahan dan tidak dibenarkan membuat representasi semasa saman dikeluarkan. Alasan yang diberikan oleh pihak pendakwaan juga tidak dijelaskan,” kata Mohamad Amin.

Kata peguam wakil tertuduh, Baljit Singh, rakyat Pulau Pinang mempunyai hak untuk mencabar saman yang dikeluarkan MBPP di mahkamah atas alasan teknikal.

“Berdasarkan keputusan hari ini, MBPP tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan saman seperti mana mereka sedang keluarkan.

“Oleh itu, rakyat Pulau Pinang yang dikenakan saman MBPP mempunyai hak mereka, boleh ketengahkan kepada MBPP.

“Ini terpulanglah kepada seseorang itu kalau mereka hendak mencabar di mahkamah atau tidak. Mahkamah telah memutuskan dahulu bahawa saman MBPP boleh dicabar dan tidak sah di Pulau Pinang atas sebab teknikal,” kata Baljit. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *