Makam Sultan Kedah ke-16, Sultan Ataullah Muhammad Syah II Dijumpai Didalam Semak Samun

ALOR SETAR – Sekali imbas, kawasan semak samun di Kampung Bukit Pinang, di sini, tiada sebarang perkara yang luar biasa, bagaimanapun apabila diamati ia membawa penemuan khazanah tersendiri.

Tanpa disedari umum, rupa-rupanya di sebalik rimbunan pokok buluh di tepi sungai kawasan perkampungan itu tersembunyi kubur lama dipercayai Makam Sultan Kedah ke-16, Sultan Ataullah Muhammad Syah II.

Menurut Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, penemuan itu satu perkara menggembirakan, kerana ia penemuan dicari-cari mereka sejak 20 tahun lepas.

“Sudah lama, pihak persatuan mencari makam Sultan Ataullah yang di Makam Diraja Bukit Pinang, bagaimanapun ia tidak pernah ditemui sehinggalah sekarang.

“Sedangkan, pihak PSMCK termasuk saya sendiri sudah beberapa kali ke sana mencarinya. Ketika itu, apa yang ditemui hanyalah kawasan lapang tanpa batu nisan dikatakan kawasan makam sahaja,” katanya.

Sehinggalah, katanya, mereka ke sana pada 23 Mac lepas untuk melakukan kajian di sekitar kawasan kampung itu selepas menerima maklumat dari ahli PSMCK berhubung perkara itu.

“Apabila ke sana, kami menemui sembilan makam termasuk dipercayai milik seorang pemerintah Kota Bukit Pinang, yang rupa-rupanya tersembunyi di bawah ranting buluh itu,” katanya.

Katanya, batu nisan itu dilindungi dan ditutup ranting buluh serta kedudukan lokasi jauh dari penempatan penduduk.

Menurutnya, kubur lama dipercayai makam Sultan Ataullah yang memerintah selama 11 tahun dari 1687 hingga 1698 dianggarkan sudah berusia 330 tahun.

“Pihak persatuan akan mengadakan perbincangan berkaitan tindakan lanjut usaha memelihara makam itu dengan Lembaga Muzium Negeri Kedah.

“Kita juga berhasrat membawa perkara ini kepada Exco Pelancongan dan Warisan, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid untuk tujuan pemeliharaan khazanah itu,” katanya.

Makam diraja terakhir Kota Bukit Pinang?

Sementara itu, Ketua Biro Penerbitan dan Pemasaran PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, kajian PSMCK mendapati ukiran batu nisan ditemui menunjukkan ia berasal dari Acheh, Indonesia.

Beliau yang juga Pengarang Kehormat berkata, batu nisan itu yang kebiasaannya digunakan kerabat diraja dan golongan bangsawan turut menyerupai makam ditemui di Kampung Chegar, Tunjang, Mac lepas.

“Berdasarkan kajian dan catatan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, sembilan makam lama terbabit berkemungkinan milik Sultan Ataullah, dan kerabat diraja lain,” katanya.

Katanya, catatan pada 1928 hasil karya Muhammad Hassan Muhammad Arshad itu, menceritakan mengenai tiga Sultan Kedah yang bersemayam pusat pemerintahan ketujuh di Bukit Pinang.

Menurut beliau, tiga Sultan Kedah dimaksudkan, adalah Sultan Ataullah (1687-1698), Sultan Abdullah Muadzam Shah (1698-1706) dan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I (1706-1709).

“Jadi, ada kemungkinan di situ ‘Langgar Diraja Bukit Pinang’ seperti disebut dalam At-Tarikh Salasilah, iaitu makam diraja terakhir di Bukit Pinang, sebelum terbina ‘Makam Diraja’ sekarang di Langgar,” katanya.

Tambahnya, hal ini kerana, dua Sultan Kedah yang memerintah di Kota Bukit Pinang, iaitu Sultan Abdullah dan Sultan Ahmad Tajuddin dimakamkan di Makam Diraja Langgar.

Walau bagaimanapun, kata Dr Ibrahim, perkara terbabit belum dapat dipastikan 100 peratus, untuk itu kajian lanjut sedang dijalankan PSMCK untuk memastikannya.

Tanah jadi benteng kota

Menurut Zambri Abd Wahab, 49, dia menerima maklumat dari sepupunya mengenai kewujudan beberapa kubur lama di tepi sungai Kampung Bukit Pinang sejak dua tahun lepas.

“Sudah beberapa kali pergi dengan rakan, Rusidi Che Omar untuk melihat kubur itu.

“Bagaimanapun, hanya selepas ke sana semula bersama PSCMK menguatkan lagi fikiran kami bahawa makam itu milik orang kenamaan,” katanya.

Lebih menguatkan telahan mereka, katanya, kedudukan makam di bawah rimbunan buluh dan kewujudan tembok tanah setinggi 2.43 meter berdekatan makam seakan-akan benteng kota pemerintahan ketika itu. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *