Masalah Masyarakat Dapat Diselesaikan Dengan Program Pemukiman Menteri Besar Perak

PADANG RENGAS – Program pemukiman Menteri Besar Perak merupakan pendekatan yang sangat berkesan dalam menyelesaikan masalah selain mendekatkan pemimpin dengan masyarakat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, program itu membolehkan kerajaan negeri melihat kemajuan sesuatu projek pembangunan yang dilaksanakan di daerah terpilih.

Beliau berkata respons masyarakat terhadap program ini amat baik kerana ia bukan program bermusim dan bukan dilaksanakan sewaktu pilihan raya diadakan.

“Program ini sebelum ini dikenali program 3P (turun padang) dan Klinik Dr Zambry sejak lapan tahun lalu dan selepas itu ditukarkan kepada pemukiman Menteri Besar pada 2013.

“Saya melihat masyarakat menyambut baik program ini kerana kita bekerja sebagai satu pasukan dan program ini sangat efektif,” katanya kepada pemberita selepas program Fit Perak di sini hari ini yang diadakan bersempena program pemukiman di daerah Kuala Kangsar sejak lima hari lalu.

Mengenai program pemukiman kali ini, Zambry berkata beliau sangat berpuas hati dan maklum balas daripada masyarakat memberi semangat kepada kerajaan negeri untuk terus bekerja.

Katanya sebanyak 157 program dilaksanakan sepanjang lima hari pemukiman diadakan bermula Selasa lalu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *