Masjid Di Daerah Kepala Batas Disarankan Memasang CCTV

KEPALA BATAS – Masjid di daerah ini disarankan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membendung kegiatan jenayah yang tidak diingini berlaku di kawasan masjid.

Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Kepala Batas, Mohd Yusuf Mohd Desa berkata, pelbagai manfaat diperoleh sekiranya semua masjid mengambil langkah itu.

“Kita sarankan kepada semua masjid agar pasang CCTV bagi memenuhi keperluan semasa khususnya berkaitan tahap keselamatan di masjid, kerana wujud pelbagai jenayah seperti kes curi tabung masjid, merosakkan kenderaan, kehilangan harta benda,” katanya.

Menurutnya, pemasangan CCTV harus dilihat dari aspek lebih luas, bukan sekadar bendung jenayah kecurian tabung sebaliknya dapat memantau operasi di masjid pada setiap hari.

“Masjid yang mempunyai CCTV, jika berlaku kejadian tidak diingini, kemungkinan besar si pelaku atau penjenayah itu dapat dirakamkan.

“Jika berlaku jenayah, sekurangnya dengan adanya CCTV, dapat kenal pasti individu terlibat dan memudahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya.

Mohd Yusuf berkata, selain aspek jenayah, pemasangan CCTV dilihat dapat memantau sebarang aktiviti berunsur negatif seperti kegiatan merokok, khianat, vandalisme sekitar masjid yang melibatkan anak-anak kariah.

“Pemasangan CCTV dapat beri keyakinan yang tinggi kepada jemaah dan pengunjung tentang tahap keselamatan di masjid itu.

“Apabila berlaku apa-apa kejadian, dengan adanya CCTV dapat merakam detik kejadian dan mengelakkan sebarang prasangka dan tuduhan fitnah,” katanya.

Katanya, malah dapat digunakan untuk mengawasi tugasan pegawai masjid dan aktiviti pengajian agar perjalanan pentadbiran diuruskan dengan baik.

“Kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan bagi membantu menyediakan kemudahan CCTV itu,” katanya. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *