Mercun dan Bunga Api bernilai RM 300 ribu dirampas di Bukit Kayu Hitam.

BUKIT KAYU HITAM – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah percaya kegiatan penyeludupan mercun di pintu sempadan di sini mulai aktif terutamanya menjelang bulan Ramadan apabila pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM300,000 dirampas di Napoh dekat sini malam tadi.

Timbalan Komander Aksem Kedah, Noor Mohammed Shaik Alauddin berkata, mercun dan bunga api yang dipercayai di seludup dari negara jiran itu dirampas selepas menahan sebuah lori untuk pemeriksaan pada pukul 11.30 malam.

Menurutnya, lori tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan di hadapan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh.

“Hasil pemeriksaan pegawai dan anggota Aksem Kedah kemudian mendapati lori tersebut penuh dengan muatan mercun dan bunga api yang diisikan dalam sejumlah kotak.

“Kotak tersebut yang mengandungi mercun dan bunga itu disembunyikan di bahagian belakang lori dan ditutup dengan canvas,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Aksem Kedah di sini hari ini.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan memindah barang belum lulus Kastam. – K

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *