Operator Kilang didenda RM 2500 kerana kutuk Mufti Perlis

OPERATOR kilang berusia 30 tahun didenda RM2,500 oleh Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini, atas pertuduhan memuat naik komen jelik terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin menerusi Facebook (FB), bulan lalu.

Hukuman dijatuhkan selepas tertuduh, Mohd Shukor Ishak dari Mata Ayer, Kangar mengaku bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menggunakan FB secara sedar menghantar komen jelik sifatnya pada 6.30 petang, 30 April lalu.

Komen yang dimuat naik itu didakwa dengan niat menyakitkan hati orang lain dan kemudiannya dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada 1 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *