Pakatan Harapan Berpecah Kerana Mentaliti Saling Membangkang Diantara Satu Sama Lain

SHAH ALAM – Pemuda PKR mendakwa mentaliti saling membangkang yang masih menebal menyebabkan pakatan pembangkang gagal mengurus perbezaan prinsip secara matang, sekali gus mengecewakan rakyat mengundi mereka dalam pilihan raya umum lalu.

Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, percakaran dalaman secara tidak langsung memberi tanggapan kepada masyarakat seolah-olah Pakatan Harapan, sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat, belum bersedia untuk mentadbir negara.

Kenyataan beliau merujuk tragedi “perpecahan” melibatkan gabungan pembangkang merupakan yang terbesar sejak gabungan itu dibentuk selepas merdeka.

Beliau juga mengakui majoriti pengundi Pakatan Rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kecewa dengan perpecahan pakatan pembangkang.

“Suka atau tidak, yang pasti majoriti pengundi yang memilih kita semasa PRU13 rasa kecewa, marah dan tidak berpuas hati dengan perkembangan parti pembangkang,” kata semasa ucapan dasar Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di IDCC Shah Alam hari ini.

Pada 2015, Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 2008 terkubur selepas PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP. Parti Islam itu meluluskan usul putus hubungan politik dengan PKR selepas mendakwa parti reformasi itu mengkhianati perjanjian “tahaluf siyasi” pada Muktamar PAS ke-63 bulan lalu.

Pakatan Harapan yang dibentuk menggantikan Pakatan Rakyat kini dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan PPBM.
Dalam ucapannya, Nik Nazmi menyeru Pemuda PKR agar melupakan kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang sebelum ini, sebaliknya menjadikannya sebagai pengajaran.

“Kelemahan lalu adalah pengajaran berharga untuk bangkit dan mara ke hadapan, kita tidak ada banyak masa dan mesti lebih fokus.

“Kini, Pakatan Harapan muncul mengisi vakum dan cuba memperbaiki kelemahan lalu dengan menginstitusikan proses membuat keputusan yang dilihat agak longgar,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismal yang berani menginisiatifkannya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, Kongres Pemuda PKR yang berlangsung hari ini tidak menerima sebarang usul memutuskan hubungan dengan PAS.

“Usul itu tidak dibawa, tidak ada perwakilan atau cabang yang bawa usul itu,” katanya. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *