Parti baru ditubuhkan hari ini untuk menggantikan PKR

KUALA LUMPUR – Parti Harapan Malaysia (PHM-Penaja) merupakan sebuah parti baru yang dikatakan akan menggantikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila mendakwa parti itu telah ‘rosak teruk’ dengan sikap pemimpinnya sendiri.

Bekas Pengerusi Kelab Akar Umbi PKR, Johari Musa berkata, PHM yang mahu bergerak sebagai sebuah parti yang sah akan menyertai Gagasan Sejahtera bersama Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“PHM diwujudkan untuk menggantikan PKR, kami ingin nyahkan PKR dalam dunia politik di Malaysia.

“Kami melihat PKR telah rosak begitu teruk dan bertambah parah apabila (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (Datuk Seri) Azmin Ali dan (Datuk Seri) Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri selaku pemimpin PKR bersikap rakus serta gila kuasa.

“Apabila ahli di bawah bersuara dan memberi cadangan atau meluahkan rasa kecewa di dalam mesyuarat, mereka akan dianggap sebagai pengkhianat parti dan dipecat sama seperti yang berlaku kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” kata Johari.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Menurut Johari yang juga bekas Ketua PKR Cabang Lembah Pantai, ramai dalam kalangan ahli PKR sedang menunggu masa untuk keluar daripada PKR bagi menyertai PHM.

Beliau menjangkakan lebih 35 peratus ahli PKR telah bersetuju untuk menyertai parti tersebut.

“Mereka beranggapan, PKR sekarang adalah ‘macai’ kepada DAP. Ramai tidak menyangka PKR sanggup khianati rakan baik mereka iaitu Pas demi menjaga hati DAP.

“Ahli PKR ramai yang mendesak bila PHM hendak ditubuhkan sebab mereka tak sabar nak keluar daripada PKR, mereka kini seolah tidak mempunyai parti walaupun tak umum keluar daripada PKR,” jelasnya.

Justeru beliau menggesa Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk meluluskan segera PHM berikutan permohonan untuk menubuhkan parti berkenaan telah tertangguh sejak 6 Disember lalu.

Surat permohonan bagi menubuhkan PHM telah dikemukan kepada ROS pada pada 10 Disember 2015.

Sementara itu ketika ditanya siapakah bakal mengetuai PHM, Johari berkata, perkara itu akan diumumkan kemudian kerana Presiden Penaja kini berada di Mekah.

Bagaimanapun, beliau berkata, individu tersebut adalah dari kalangan pemimipin PKR terdahulu yang masih berada di dalam parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *