Parti Cap Bunga guna modal tepi jalan serang PAS

Pas menemplak sikap pimpinan Parti Bersatu Rakyat Malaysia (PPBM) yang berterusan menyerang parti Islam itu.

Dengan menyifatkan modal yang diguna dipungut di tepi jalan, Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sudah cukup PPBM menjaja hubungan baik Pas dan UMNO sehingga menuduh parti itu bekerjasama dalam soal kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU14).

Menurutnya, Pas secara konsisten sejak dahulu lagi menerusi Majlis Syura Ulamak telah membuat penafian yang mana secara jelasnya tiada sebarang kerjasama dengan UMNO.

“Bahkan semua kerusi kita lawan UMNO. Di Kelantan pun tak ada menunjukkan kerjasama UMNO dengan Pas, mereka pindahkan undi dan sebagainya, itu membuktikan tuduhan itu bohong.

“Saya fikir kalau kita pimpinan yang percaya kepada maklumat tepi jalan, kita tidak layak bercakap sebagai pemimpin. Saya fikir beliau sepatutnya dapatkan maklumat yang betul,” lapor sebuah laman portal.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menunjukkan Pas mahupun UMNO tidak akan letakkan calon jika salah satu daripada parti itu bertanding di mana-mana kerusi pada PRU14 nanti.

Majlis Syura Ulama juga telah mengeluarkan surat rasmi dalam soal hubungan dengan UMNO dan Pas, oleh itu Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan terus memperkasakan blok ketiga tanpa menoleh ke belakang lagi untuk menghadapi pilihan raya umum, katanya seperti dilaporkan.

Mengulas lanjut perkara itu, Tuan Ibrahim menyifatkan kesungguhan PPBM menyerang parti itu habis-habisan kerana masih mengharapkan Pas menyertai Pakatan Harapan.

Semalam, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, menggunakan skrip lamanya menuduh golongan ulama dalam parti itu hanya menggunakan Islam sebagai laluan untuk menjadi wakil rakyat.

Bekas perdana menteri itu berkata, ia dibuktikan apabila ulama parti tersebut yang sebelum ini berada dalam UMNO keluar parti dan kemudian mewujudkan sebuah parti baharu untuk bertanding dalam pilihan raya.

Penasihat Pakatan Harapan itu juga mendakwa parti yang memperjuangkan Islam itu telah menggunakan agama secara salah untuk mencari kemenangan dengan cara mengkafirkan orang Islam lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *