Parti Mahathir Akan Karam Kerana Kronisme

18/05/2017 – Kegagalan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin terserlah selepas ramai ahli parti tersebut bertindak meninggalkan parti itu.

Ahli parti yang bertindak demikian kerana mendakwa parti yang ditubuh Mahathir dan konco-konconya seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu sudah hilang hala tuju dan mempunyai kepentingan peribadi daripada membela nasib rakyat.

Setelah beberapa pemimpin dan orang kuat PPBM meninggalkan parti itu, lebih ramai pemimpin serta ahli dijangka mengikut jejak sama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Itulah yang pernah didakwa bekas Ketua Aktivis PPBM Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin yang turut mengambil langkah sama sebelum ini.

Pada bulan lalu, bekas pengasas PPBM Kamarulazman Habibur Rahman mengumumkan untuk keluar PPBM selepas kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasih di dalam parti teraju Mahathir itu.

Susulan tindakannya itu, beliau juga mengumumkan peletakan kesemua jawatannya di dalam parti, termasuk sebagai ahli majlis pemimpin tertinggi PPBM dan Setiausaha Kerja PPBM pusat.

Malah Kamarulazman juga menyelar sikap pemimpin PPBM yang bekerja untuk jawatan serta kedudukan, malah melayan kumpulan yang bekerja keras demi parti dengan ‘layanan kelas kedua’.

Hari ini, bekas pengasas PPBM itu membayangkan pula parti yang pernah dihuninya bakal ‘karam’ sebelum menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ini kerana menurutnya, terlalu banyak kelemahan dan kebocoran yang masih belum diperbaiki pemimpin parti tersebut, yang dilihat menjadi faktor penyebab sebelum ia berjaya memegang sebarang kerusi pada pilihan raya itu kelak.

“Saya berpendapat bahawa bahawa ‘kapal’ ini akan karam sebelum PRU14 nanti.

“Mungkin pada peringkat awalnya jika mereka menyedari dan mengakui hakikat bahawa ada sesuatu yang tak kena kepada bahtera parti ini dan mereka membuat sesuatu, tetapi nampaknya mereka tidak membuat apa-apa tindakan yang baik,” kata Kamarulazman.

Ekoran ketiadaaan tindakan untuk memperbaiki keadaan oleh kepimpinan, beliau mendakwa lebih ramai lagi ahli PPBM akan mengikut jejak langkahnya keluar parti dalam tempoh terdekat. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *