PAS Kelantan Gembira Jika PKR Mahu Tinggalkan Jawatan Didalam Pentadbiran Negeri

SHAH ALAM – Tindakan PKR mengarahkan lantikan politik daripada parti itu di Kelantan agar melepaskan jawatan diibaratkan sebagai satu kelegaan besar di peringkat akar umbi PAS, kata Pengarah Pusat Kajian Strategik Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof.

Beliau berkata demikian kerana akar umbi PAS di Kelantan sudah lama menantikan perkara tersebut sejak sekian lama bekerjasama dengan anggota PKR dalam pentadbiran.

“Dari sudut mood ataupun selera ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi bergembiralah dengan keputusan itu.

“Lebih gembira lagi bila majlis pimpinan PKR sendiri buat keputusan itu untuk keluar daripada kerajaan negeri Kelantan bagi mana-mana ahli lantikan mereka,” katanya kepada Antarapos.

Beliau diminta mengulas keputusan PKR yang mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta sebagai tindak balas daripada keputusan PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Susulan perkara itu PKR Kelantan akan melepaskan semua 75 jawatan yang disandang wakil mereka dalam pentadbiran kerajaan PAS itu.

Untuk rekod, antara jawatan lantikan politik PKR di Kelantan ialah seperti Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN), Penyelia Parlimen, ketua kampung, Ahli Majlis Daerah dan beberapa jawatan melibatkan anak syarikat kerajaan negeri

Selain itu bekas Ahli Parlimen Bachok ini menambah kerjasama itu telah menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan akar umbi PAS bahkan turun membebankan mereka.

“Itulah yang ditunggu-tunggu di peringkat akar umbi sebelum ini pun kerana sebahagian melihat adanya PKR dalam kerajaan negeri Kelantan pada masa sebelum ini dianggap sudah tidak selesakan sebahagian ahli PAS.

“Kerana mereka ini sudah berada bersama sejak sekian lama daripada tahun 1999 lagi menjadi pembantu pembimbing dan kadang-kadang mereka terpaksa bertindak sebagai ahli PKR semata-mata untuk menghidupkan cabang atau cawangan PKR di Kelantan,” katanya.

Beliau memberitahu, keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR adalah tindakan paling tepat.

“Jadi dengan keputusan yang ada ini mereka (ahli PAS) puas hatilah kerana selama ini pun PKR hidup atas inisiatif sama daripada ahli PAS.

“Jadi bila suasana yang berlaku di Selangor mahu pun isu-isu yang telah dibentangkan secara terbuka dalam muktamar PAS telah banyak menyedarkan ahli-ahli PAS terutama mereka yang belum tahu perkara yang berlaku di sebalik isu itu,” katanya.

Tambah Wan Nik, ahli PAS akan mempertahankan keputusan memutuskan hubungan dengan PKR selain akan bertegas apabila melibatkan perkara yang melanggar perjuangan parti.

“Isu yang dianggap sebelum ini tidak nampak tapi bila didedahkan dengan bukti-bukti dalam penghujahan usul putus hubungan ramai ahli PAS sudah tahu bahawa selama ini PKR tidak menghormati sangat tahaluf siyasi yang dijaga bersama,” katanya. – ap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *