PBB makin sukar untuk beri perlindungan kepada pelarian di Mosul

Mosul: Jumlah orang awam yang melarikan diri dari Mosul yang menjadi medan pertempuran kini mencecah tahap yang tidak dijangka menyebabkan agensi bantuan bergelut untuk memberi perlindungan kepada mereka.

Penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Iraq, Lise Grande berkata, jumlah penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di barat Mosul meningkat mendadak.

“Kami melihat jumlah keluarga yang besar meninggalkan semuanya dan berdepan dengan pelbagai kesukaran.

“Ada yang tidak mempunyai bekalan makanan dan mendapat bekalan air bersih serta perubatan selama berminggu atau berbulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tentera Iraq melancarkan serangan besar-besaran tujuh bulan lalu untuk menawan semula bandar kedua terbesar negara itu yang jatuh ke tangan Daish pada Jun 2014.

Lebih 700,000 penduduk menjadi pelarian dengan setengah juta lagi pada Februari lalu apabila tentera mara ke bahagian barat Mosul yang padat dengan penduduk.

Iraq, PBB dan agensinya membina kem penempatan di sekitar Mosul bagi memberi bantuan kepada penduduk yang sebahagian mereka berdepan kebuluran dan dijadikan perisai manusia oleh Daish.

Bagaimanapun, Grande memberitahu, agensi bantuan bergelut untuk menangani jumlah pelarian yang terlalu besar itu.

“Jumlah penduduk yang meninggalkan Mosul kini sangat besar dan menjadi sangat sukar untuk memastikan semua orang awam menerima bantuan dan perlindungan diperlukan,” jelasnya.

Grande juga memberi amaran, seramai 200,000 lagi penduduk masih terperangkap di Kota Lama Mosul, lokasi pertahanan Daish terakhir. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *