Pemandu Toyota Camry buat laporan Polis dakwa dipukul jemaah solat Jumaat.

KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden serangan ke atas seorang pemandu kereta Toyota Camry yang dipukul jemaah sebuah surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, mangsa yang merupakan seorang jurutera berusia 28 tahun telah membuat aduan di Balai Polis Setia Indah.

Dalam laporan itu katanya, pengadu yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan mendakwa dipukul sekumpulan lelaki Melayu menggunakan tangan dan topi keledar.

Jelasnya, berdasarkan siasatan, kejadian pada kira-kira jam 1.30 tengahari itu berpunca apabila pengadu telah membunyikan hon kerana berdepan dengan situasi kesesakan di laluan tersebut.

“Lelaki Cina itu telah membunyikan hon kereta hingga menimbulkan kemarahan beberapa orang lelaki Melayu yang bersolat Jumaat di surau tersebut.

“Ekoran daripada tindakan itu beberapa individu telah bertindak merosakkan kereta dan memukul lelaki terbabit,” katanya menerusi kenyataan petang tadi.

Menurutnya, insiden berkenaan berjaya dikawal polis dan semua yang terlibat telah dibawa ke balai termasuk ahli jawatankuasa surau berkenaan untuk siasatan.

Katanya, perkara itu berjaya diselesaikan dengan baik dan polis tidak mahu ada pihak membuat sebarang spekulasi atau cuba memviralkan lagi video yang telah tersebar.

Kamarulzaman menegaskan, pihaknya memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menggunakan insiden itu sebagai landasan untuk menggugat ketenteraman awam atau siasatan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beberapa jam lalu, sebuah video berdurasi satu minit 10 saat menunjukkan beberapa jemaah di sebuah masjid menyerang sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki

Dalam video berkenaan, orang ramai yang solat di situ berang apabila pemandu kereta berkenaan membunyikan hon kereta ketika melalui jalan berkenaan.

Orang ramai dipercayai bertindak menendang kereta berkenaan dan ada juga yang menggunakan kon penanda jalan sebagai senjata menyerang kereta Toyota Camry berkenaan.

Turut kelihatan beberapa anggota keselamatan yang dipercayai cuba untuk meleraikan tindakan marah jemaah terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *