Pendaki Everest tanpa permit di denda RM 94 ribu di Nepal

KATHMANDU: Seorang lelaki warga Afrika Selatan yang cuba mendaki Gunung Everest tanpa kebenaran pihak berkuasa ditahan di Nepal dan berdepan hukuman denda AS$22,000 (RM94,919), iaitu dua kali ganda kos permit yang dia cuba mahu elak.

Ryna Sean Davy menyerah diri kepada pihak berkuasa di Kathmandu, semalam selepas ditahan hujung minggu lalu ketika bersembunyi dalam sebuah gua berhampiran kem induk Everest tanpa memiliki sebarang permit.

Inspektor Polis Pelancongan, Tulasha Khatiwada, berkata lelaki berusia 43 tahun itu mengeluarkan kata-kata kesat dan mengancam pegawai daripada jabatan pelancongan ketika dia disoal siasat. Dia ditahan di bawah undang-undang ketenteraman awam Nepal.

Ketika ini, dia ditahan dan akan hadir ke mahkamah minggu depan bagi berdepan dakwaan berkaitan cubaan mendaki Everest dan kemungkinan dituduh dengan kesalahan tambahan atas kelakuannya semasa siasatan dijalankan.

“Dia akan didenda dan dihantar pulang menurut Akta Pelancongan Nepal. Dia boleh dihukum lagi atas kesalahan perbuatan tidak senonoh dengan polis,” kata Pengarah Jabatan Pelancongan, Dinesh Bhattarai. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *