Peragu ditangkap selepas cuba samun rantai emas pelancong asing

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas orang ramai berjaya menahan seorang lelaki yang cuba meragut seorang pelancong wanita warga India di Jalan Hang Lekiu di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa sedang melintas jalan namun tiba-tiba sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna merah datang dari arah belakang wanita tersebut dan meragut rantainya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, tindakan lelaki berusia 25 tahun meragut rantai emas milik mangsa gagal kerana wanita tersebut sempat memegang rantainya.

“Suspek kemudian terus melarikan diri namun telah melanggar pembahagi jalan sehingga terjatuh.

“Lelaki itu cuba bangun untuk melarikan diri tetapi orang ramai yang berada di tempat kejadian segera menangkap suspek sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Tambahnya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan. – K

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *