Perkahwinan Bukan Hanya Soal Cinta

29/05/2017 – Tujuan mendirikan masjid dalam islam adalah untuk mendapat ketenangan dan keredhaan Allah. Semua orang ingin memiliki pasangan hidup seperti orang lain. Pasangan yang mampu berkongsi suka duka, cerita, sakit dan sebagainya adalah mimpi indah yang selalu diidamkan. Namun, jalan-jalan kehidupan selepas perkahwinan sebenarnya berliku dan beranjau. Jika kukuh sebuah bahtera, maka belayarlah ia dengan baik.

Tetapi, jika inginkan perkahwinan kekal bahagia ini beberapa tip yang perlu diamalkan oleh pasangan. Perkahwinan ini bukan hanya soal cinta sahaja tapi ada beberapa perkara lain yang perlu diterapkan.

Pertama, perkahwinan bukan hanya perkara seorang saja. Masa sebelum berkahwin, anda hanya merasakan dunia dua orang sahaja, itu sudah cukup. Tapi setelah berkahwin, anda pula perlu berhadapan dengan dua keluarga, keluarga anda dan keluarganya. Ditambah lagi dengan keluarga baru yang anda berdua bina ini, belum lagi ditambah dengan keluarga dari kakak atau adik pasangan. Banyak keluarga harus bersatu, tentunya masalahnya tidak semudah ABC.

Kedua, membina mahligai perkahwinan tanpa wang itu tidak mungkin, tetapi jika banyak wang, masalah juga banyak. Hari-hari tiada wang, pasti akan rasa amat sukar. Pasangan yang kekurangan wang, pasti ada sejuta masalah, kalau anda dan pasangan tidak mempunyai ekonomi yang stabil, setiap hari pasti rasa sukar.

Jika anda sudah terseksa sebegitu lama tanpa wang, tiba-tiba kehidupan anda dilimpah dengan wang, pasti anda bukan lagi orang yang sama.

Ketiga, anak-anak tidak bersalah. Biasanya dalam perkahwinan yang paling terluka dan kasihan, adalah anak. Berapa ramai nasib anak muda yang hancur, kerana penceraian kedua ibubapanya. Jika anak-anak sudah kehilangan jiwanya, hidupnya pun berubah, watak mereka juga mati kerana ibubapa. Ada ramai anak-anak yang lahir dari keluarga yang bermasalah, sehingga bermasalah di sekolah, berperwatakan yang membangkang, suka memberontak atau malah suka menyendiri.

Keempat, pasangan berikutnya, belum tentu lebih baik dari yang sebelumnya. Ramai orang rasa pasangannya sekarang benar-benar teruk dan dia sudah tidak tahan lagi, dia rasa akan mencari yang lebih baik dari pasangannya sekarang. Padahal, realitinya tidak sebegitu.

Kelima, mengalah, sabar, dan berlagak bodoh, membuat perkahwinan semakin erat. Bersabar sedikit, anda dapat menenangkan badai, mundur selangkah boleh menyelamatkan hidupmu. Hubungan suami isteri, jangan terlalu berhitung, kalau semuanya dikira begitu terperinci, apa guna bersatu menjadi suami isteri?

Keenam, paling penting, dia yang menemani seumur hidup anda. Jika anda masih muda atau baru saja berkahwin, mungkin masih belum mengerti semua perkara ini, namun setelah anda berkahwin bertahun-tahun, anda akan mengerti. Orang paling penting dalam hidup anda, bukanlah anak, bukan juga ibu bapa anda, bukan kakak atau adik, tetapi orang yang anda pilih untuk menghabiskan sisa hidup bersama, dia adalah orang yang anda cintai.

Ketujuh, menghormati ibubapa. Seumur hidup ini, orang yang paling mencintai, pastilah orang tua anda. Jadi jangan lupa untuk menghormati mereka, jadilah anak yang berbakti pada orang tua dan mertua. Jangan biarkan pasangan anda sukar untuk memilih diri anda atau orang tuanya. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *