Perkara-Perkara Tentang Kanser Prostat Yang Lelaki Patut Tahu Sebelum Terlambat

“Pernah tak bercakap tentang kanser prostat dengan kawan lelaki?” tanya penulis kepada rakan.

Rata-rata jawapan yang diterima ialah “tak pernah”. Apabila ditanya kenapa, mereka jawab:

“Entah. Tak pernah fikir nak sembang kot.”

“Sebab tak ramai yang kena, so tak discuss sangat. Unlike breast cancer, ada family yang kena, so kita sembang-sembang juga.”

“Saya tak pernah ambil tahu sebab tak kahwin lagi.”

“Saya memang pernah dengar mengenai kanser prostat dan memang aware penyakit ini juga mempunyai pesakit dari jantina lelaki. So far tak pernah berbual dengan pesakit kanser prostat lagi.”

Daripada perbualan dengan mereka, penulis dapati lelaki muda tidak bercakap tentang kanser prostat bukan sebab malu tetapi kerana kurangnya berlaku penyakit ini di kalangan orang yang mereka kenali.

Itu juga membuatkan mereka berasakan tidak mungkin diri sendiri akan terkena penyakit kanser prostat ini. Sangkaan seperti ini bakal buat lelaki jadi alpa akan kesannya ketika tua kelak.

Hakikatnya, kanser prostat merupakan salah satu pembunuh utama kaum lelaki di Malaysia.

1. Langkah Awal Cegah Kanser

Benar kanser prostat dihidapi lelaki berusia. Tapi itu tidak bermakna lelaki yang masih muda boleh mengabaikannya. Di usia mudalah lelaki patut mengamalkan gaya hidup sihat agar dapat merendahkan risiko kanser prostat ketika tua nanti.

Berikut antara gaya hidup sihat yang boleh diamalkan oleh pemuda masa kini agar terhindar daripada kanser prostat:

1. Orgasma

Penyelidikan baru yang dijalankan oleh Harvard Medical School dan Brigham and Women’s Hospital menunjukkan lelaki yang mencapai pancutan dan orgasma lebih daripada 21 kali dalam sebulan mempunyai 22% risiko lebih rendah mendapat kanser prostat.

2. Senaman

Lelaki yang bersenam bersungguh-sungguh sekurang-kurangnya tiga jam seminggu mempunyai risiko 61% lebih rendah untuk mendapat kanser prostat berbanding dengan lelaki yang bersenam kurang dari satu jam seminggu.

Penemuan ini berdasarkan kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Harvard School of Public Health dan Universiti California-San Francisco.

“Keputusan menunjukkan bahawa risiko perkembangan kanser prostat kian berkurang selepas diagnosis apabila pesakit menambah aktiviti fizikal dalam rutin harian mereka,” ujar ketua penyelidik, Stacey Kenfield dalam satu kenyataan akhbar.

Antara aktiviti fizikal yang boleh dilakukan setiap minggu ialah berlari, berbasikal, berjalan, berenang, dan melakukan kerja-kerja luar yang mengeluarkan peluh.

3. Diet

Menurut tiga kajian baru dalam artikel WebMD, diet dan gaya hidup mempunyai kesan untuk menurunkan risiko kanser prostat. Lelaki perlu makan karbohidrat yang tinggi serat, kurangkan minuman bersusu serta mengelak diabetes dan faktor risiko sakit jantung agar terlindung daripada kanser prostat.

Selain itu, kebanyakan kajian sebelum ini mengaitkan risiko kanser sekiranya seseorang makan daging dan produk tenusu. Sebaliknya, ikan dan tomato dikaitkan dengan penurunan risiko kanser. Pengambilan vitamin E dan selenium (daripada makanan tambahan) juga dapat membantu mengurangkan risiko.

2. Kepentingan Gaya Hidup Sihat

Gejala-gejala awal yang tidak jelas telah menyebabkan para pesakit tidak menyedari mereka sedang menghidap penyakit kanser prostat sehinggalah ianya mengancam nyawa.

Oleh sebab itu, lelaki yang berumur 45 tahun ke atas perlu menjalani ujian saringan iaitu ujian darah yang dipanggil Prostate Specific Antigen (PSA) supaya kanser prostat boleh dirawat di peringkat awal.

Sebilangan kajian cenderung untuk menyokong kenyataan bahawa perubahan gaya hidup boleh memperlahankan pertumbuhan sel-sel kanser prostat seperti mengamalkan diet lemak rendah berasaskan tumbuhan, diet lemak rendah dan kandungan serat tinggi, pengurangan stres, latihan fizikal (sukan), memakan banyak ikan, sos tomato, suplemen diet yang berasaskan soya, jus delima dan lain-lain.

Selain itu, elakkan seks bebas kerana penyakit kelamin gonorrhea didapati mempunyai kaitan dengan kanser prostat. Tabiat bertukar ganti teman seks dan melakukan hubungan seks pada usia terlampau muda juga meningkatkan risiko kanser prostat.

3. Apa Itu Prostat

Prostat adalah kelenjar exocrine yang terletak di bawah pundi kencing dan di hadapan rectum. Ia menghasilkan rembesan prostat yang akan berakhir di luar prostat dalam sistem pembiakan lelaki.

Rembesan itu adalah cecair beralkali yang berfungsi melindungi dan menyediakan bekalan untuk sperma. Terdapat beribu-ribu kelenjar halus dalam prostat yang menghasilkan cecair putih beralkali seperti susu, yang merupakan sebahagian daripada air mani.

Sebesar sebiji kacang berangan di mana saiznya akan bertambah mengikut umur, prostat mengelilingi uretra iaitu salur kencing yang bermula dari pundi kencing dan berakhir di hujung zakar, yang berfungsi membawa air kencing dan air mani keluar dari badan.

Penyakit Benign Prostatic Hyperplasia (BPH) terjadi apabila kelenjar prostat membesar disebabkan hormon tidak seimbang sehingga mengganggu atau menutup saluran uretra.

4. Apa Itu Kanser Prostat

Dalam kebanyakan kes, kanser prostat bermula dalam sel-sel kelenjar prostat maka ianya dirujuk sebagai adenocarcinoma atau kanser kelenjar yang terjadi apabila sel-sel kelenjar prostat yang normal mengalami mutasi (mutation) menjadi sel-sel kanser.

Kanser prostat boleh bermula dengan perubahan yang sangat kecil pada bentuk dan saiz sel-sel kelenjar prostat – Prostatic intraepithelial neoplasia (PIN).

Pada awalnya, kelompok-kelompok kecil sel kanser berada pada kelenjar prostat sahaja – Carcinoma In Situ (CIS) atau Prostatic Intraepithelial Neoplasia (PIN). Setelah beberapa lama, sel-sel kanser ini akan mula membiak dan merebak ke tisu-tisu prostat untuk membentuk ketumbuhan.

Akhirnya ketumbuhan ini akan membesar dan merebak ke organ-organ berhampiran seperti rectum dan seminal vesicles atau sel-sel ketumbuhan ini akan bergerak melalui salur darah dan sistem limfa, merebak (metastasis) ke bahagian-bahagian lain seperti tulang belakang dalam badan.

Terdapat juga kes kanser prostat yang berulang semula selepas dirawat.

5. Kenali Gejala Kanser Prostat

Gejala-gejala kanser prostat ialah;

  • Kerap membuang air kecil.
  • Aliran air kencing yang perlahan.
  • Kesukaran memulakan atau menahan aliran air kencing.
  • Keinginan untuk kencing yang kerap atau tidak boleh kencing, lebih kerap buang air kecil di waktu malam.
  • Kehadiran darah dalam air kencing.
  • Kesakitan atau kakakuan yang kerap pada bahagian bawah belakang, pinggul dan bahagian atas paha.
  • Ejakulasi yang menyakitkan atau masalah mempunyai ereksi.
  • Sakit tulang dan lumpuh.
  • Rosak buah pinggang.
  • Kanser yang merebak ke otak.
  • Penurunan berat badan.
  • Bengkak pada kaki dan tangan.

6. Faktor Yang Boleh Meningkatkan Risiko Kanser

Penyebab utama kanser prostat masih tidak diketahui. Bagaimanapun, faktor berikut boleh meningkatkan risiko pembentukannya:

  • Risiko kanser prostat meningkat dengan usia, lebih-lebih lagi selepas umur 50 tahun. Lebih 80 peratus kanser prostat didiagnosis pada lelaki berusia lebih 65 tahun.
  • Risiko lebih tinggi jika mempunyai ayah atau adik beradik lelaki yang pernah mendapat kanser prostat.
  • Paras testosteron (hormon seks lelaki) yang tinggi mungkin mencepatkan pembentukan kanser prostat.
  • Faktor pemakanan turut memainkan peranan seperti pengambilan makanan berlemak yang berlebihan serta merokok.

7. Kes Kanser Prostat Di Malaysia

Berdasarkan statistik pada 2012, lebih kurang 1.1 juta lelaki di Malaysia menghidap kanser prostat.

Memang benar kata-kata rakan-rakan penulis yang masih di angka 20-an, mereka tidak bercakap tentang kanser prostat kerana tidak pernah encounter dengan orang berpenyakit ini.

Meskipun sangat sedikit kes kanser prostat berlaku dalam kalangan lelaki di bawah 50 tahun, kanser prostat adalah kanser ke-3 paling kerap menyerang kaum lelaki berumur lebih 60 tahun selepas kanser paru-paru dan kanser kolorektal.

Apabila didiagnosis dengan kanser prostat yang telah merebak ke bahagian-bahagian badan lain, kadar kelangsungan hidup 5 tahun jatuh kepada 28%.

8. Kesan Tiada Gejala Awal

Ketiadaan gejala yang jelas pada peringkat awal menyebabkan ramai pesakit tidak menyedari mereka sedang menghidap kanser prostat hinggalah ia mengancam nyawa.

Kadang-kadang kanser prostat menunjukkan gejala-gejala BPH seperti kerap buang air kecil, nocturia (kerap membuang air kecil di waktu malam), kesukaran memulakan dan mengekalkan pancutan air kencing, hematuria (darah dalam air kencing) dan dysuria (kencing yang menyakitkan).

Satu kajian yang berasaskan Penilaian Penjagaan Pesakit 1998 di Amerika Syarikat mendapati satu pertiga (1/3) daripada pesakit mempunyai satu atau lebih gejala dan 2 pertiga (2/3) pula tidak mempunyai sebarang gejala kanser prostat.

Keadaan ini menyebabkan sebilangan pesakit gagal menjalani ujian perubatan di peringkat awal. Mereka hanya menyedari menghidap kanser prostat apabila ianya berada pada tahap 3 atau 4 di mana sel kanser telah merebak ke bahagian-bahagian lain dalam badan.

9. Pemeriksaan Untuk Mengesan Kanser Prostat

Menurut pakar Perunding Bedah Urologi Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Dr Abdul Rashid Abdul Subahan, lelaki terutama yang melebihi usia 50 tahun perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Ujian melalui kaedah Prostate-Specific Antigen (PSA) boleh mengenal pasti sama ada protein yang dihasilkan oleh tisu prostat normal atau tinggi.

Bagi lelaki bawah 40 tahun, bacaan normal ialah pada paras 2.5, sementara bagi yang berumur lebih 50 tahun ialah 4. Jika bacaannya melebihi paras itu, anda perlu membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan sama ada anda dihidapi kanser atau tidak.

Antara kaedah digunakan untuk pemeriksaan awal ialah Digital Rectal Examination (DRE) di mana doktor memasukkan jari melalui saluran dubur dan merasa buah kelenjar. Jika lembut, ia menandakan kelenjar prostat anda normal tapi jika keras, maka itu antara tanda-tanda kanser.

Begitu pun bagi memastikannya lebih lanjut, anda perlu membuat pemeriksaan melalui beberapa kaedah seperti ultrasound, Computed Tomography Scan (CT Scan) atau Magnectic Resonance Imaging (MRI).

Namun kaedah paling tepat ialah biopsy di mana doktor mengambil sedikit tisu di bahagian prostat dan dibuat ujian makmal ke atasnya.

10. Rawatan Kanser Prostat

Rawatan-rawatan untuk kanser prostat ialah;

  • Tunggu dengan berwaspada.
  • Pembedahan sama ada terbuka atau dengan menggunakan robot.
  • Rawatan radiasi rawatan hormon.
  • Kemoterapi.
  • Pilihan rawatan akan bergantung kepada peringkat dan gred kanser tersebut, usia dan jangka hayat pesakit, kemudahan sedia ada di hospital serta latihan dan pengalaman pakar bedah.

Kesimpulan

Kebanyakan lelaki muda alpa dengan penyakit kanser prostat kerana ia hanya menyerang lelaki berusia. Ia menyebabkan mereka tidak menyedari bahayanya.

Kaum lelaki yang mempunyai tanda-tanda atau sejarah keluarga menghidap kanser prostat perlulah mendapatkan nasihat dan rawatan jika perlu bagi tujuan pencegahan penyakit ini.

Sikap ambil ringan boleh memberi kesan di masa depan kerana apa yang dilakukan pada hari ini sedikit sebanyak mempengaruhi keadaan pada masa tua kelak.

Ia bagaikan blok-blok domino yang akan jatuh ke atas blok lain, melainkan blok yang bakal ditimpa itu berdiri teguh dan kuat terpasak. Barulah survive dan kehidupan seterusnya tak terkesan dengan bahana sebelum itu.

Jadi, sebab itulah penting untuk kita semua mengamalkan gaya hidup sihat dari sekarang.

Bak kata slogan Bahagian Pembangunan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia #BPKK; Sihat Baru Macho #SihatBaruMacho. – tv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *