Permintaan Pengeluar Gula Untuk Naikkan Harga Gula Adalah Tidak Wajar – Fomca

GABUNGAN Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menganggap permintaan pengeluar gula MSM Malaysia Holdings untuk menaikkan harga gula 29 sen sekilogram adalah tidak wajar.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pada 1 Mac lalu, kerajaan telah membenarkan kenaikan harga gula pasir putih bertapis sebanyak 11 sen sekilogram, iaitu daripada RM2.84 kepada RM2.95 sekilogram.

“Oleh itu, harga gula tidak sepatutnya dinaikkan lagi hanya dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada China Press.

Menurut Mohd Yusof, kenaikan harga gula adalah perkara besar kerana ia akan mempengaruhi kenaikan harga barang berkaitan.

“Pada 1 Mac, kerajaan meluluskan kenaikan seperti diminta pihak pengeluar. Sekiranya permintaan kali ini diluluskan lagi, bermakna harga gula telah dinaikkan sebanyak 40 sen sekilogram dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

“Apa akan terjadi apabila harga gula naik kelak? Pengusaha minuman dan makanan pastinya akan dibebankan kos lebih tinggi, dan akhirnya pengguna terpaksa bayar harga lebih mahal,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kerajaan mesti mengambil berat kesan dan akibat kenaikan harga gula, terutama terhadap golongan berpendapatan rendah.

“Kerajaan apabila ingin meluluskan harga barangan keperluan seperti gula, mestilah memikirkan keadaan rakyat jelata, bukan hanya memenuhi permintaan dan kepentingan pihak pengeluar semata-mata,” katanya.

Baru-baru ini, pengeluar gula MSM Malaysia Holdings dalam kenyataannya memberitahu, masih dalam perbincangan dengan kerajaan untuk menaikkan harga gula 29 sen sekilogram bagi menjamin keuntungan syarikat tahun ini.

Kumpulan Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) yang menguasai syarikat pengeluar itu berkata, harga gula mentah yang tidak stabil, ditambah dengan kejatuhan ringgit menyebabkan syarikat berdepan cabaran.

Suhakam tidak setuju RUU 355

Suruhanjaya Hak Asas Manusia Malaysia (Suhakam) tidak setuju cadangan untuk menambah hukuman syariah dalam pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) seperti diusulkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail, pihaknya membantah hukuman sebatan, yang disarankan ditambah 100 kali kerana ia telah melanggar kesaksamaan dalam hak asasi manusia.

“Sebagai badan yang memelihara hak asasi manusia, Suhakam berpendapat pindaan akta ini tidak sesuai digunakan seluruh rakyat Malaysia dan ia boleh bawa kesan mendalam kepada semua orang,” kata Razali seperti disiarkan dalam Nanyang Siang Pau.

Melalui RUU 355, Pas mencadangkan hukuman di mahkamah syariah ditingkatkan kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 kali sebatan.

Sebelum ini, mahkamah syariah hanya dibenarkan menghukum orang Islam sehingga tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Banyak syarikat minat projek HSR KL-Singapura

Projek pembinaan laluan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura kini menerima beberapa negara yang berminat untuk terlibat sama, setelah kedua-dua negara bersetuju ia dilaksanakan pihak swasta dan akan dibuat secara tawaran terbuka.

Sehingga hari ini, selain China, Jepun, Korea, Jerman dan Perancis yang bersaing untuk mendapatkan tawaran membina laluan sejauh 350 kilometer itu, Hong Kong melalui syarikatnya, MTR Corp menjadi negara terbaru menyatakan hasrat berkenaan.

Menurut akhbar Nan Hua Morning Post, China dikatakan negara yang mempunyai keinginan tinggi memperoleh tender berkenaan, kerana ia mampu meningkatkan perdagangan negara itu di peringkat antarabangsa.

Perkhidmatan HSR KL-Singapura itu akan mengurangkan tempoh perjalanan kepada hanya 90 minit dengan kedua-dua negara turut komited terhadap tarikh akhir projek itu yang ditetapkan pada 2026.

Laluan itu merangkumi lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri (di Malaysia) dan Singapura.

Jepun turut menjadi negara paling awal menyuarakan minat terhadap projek yang dianggarkan menelan kos antara RM60 bilion (S$19 bilion) dan RM65 bilion (S$21 bilion). – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *