PFP Sedia Cabar DAP Pulau Pinang Di 13 Kerusi DUN

19/05/2017 – Pada 9 September tahun lalu, Penang Front Party (PFP) diluluskan pendaftarannya yang dikatakan akan berjuang membawa ‘suara’ rakyat negeri ini bagi menentang DAP yang disifatkan mereka hanya memiliki kepentingan peribadi.

Sebelum ini, PFP berhasrat bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum akan datang bagi menentang DAP.

Kali ini, PFP dilaporkan telah sedia untuk bertanding sekurang-kurangnya di 13 kerusi DUN Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Parti itu dikatakan sedang mengumpul dana dan tenaga bagi mencapai matlamat untuk melindungi kepentingan ekonomi rakyat Pulau Pinang dan memberi nafas baharu kepada arena politik negara. Itulah yang dinyatakan oleh Penasihat PFP, Datuk Patrick Ooi.

Bagaimanapun, beliau mengatakan ia masih dalam peringkat perbincangan untuk menentukan kerusi mana yang akan ditandingi.

“Sebelum ini kami memberi tumpuan untuk bertanding di (DUN) Air Putih, tetapi kini kami mempunyai matlamat yang lebih besar,” kata Patrick Ooi.

Bertemakan ‘Pulau Pinang untuk warga Pulau Pinang’, PFP mendakwa mendapat sokongan dan khidmat nasihat daripada empat individu yang merupakan veteran UMNO, Gerakan, MCA dan DAP.

Malah satu perhimpunan muhibah akan dianjurkan bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) negeri ini dalam masa terdekat, untuk memperkenalkan visi dan misi PFP kepada rakyat Pulau Pinang. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *