Pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) Akan Dibentang Di Parlimen Tahun Depan

NILAI – Pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang antara lain bertujuan mewajibkan majikan menyediakan kemudahan penginapan yang selesa kepada pekerja asing dijangka akan dibentangkan di Parlimen Januari tahun depan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata satu kertas kerja terperinci mengenai isu penginapan pekerja asing telahpun dibuat oleh kementerian dan dibentangkan kepada sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ia telah dipersetujui dan diluluskan oleh jawatankuasa itu. Walaupun telah diluluskan, ia hanya boleh dikuat kuasa setelah diluluskan Parlimen. Kita harap bahawa akta yang sedang kita buat ini akan dapat dibentang dan diluluskan pada Januari 2018.

“Setelah diluluskan, adalah wajib untuk majikan menyediakan penginapan kepada pekerja asing dan saya percaya majikan akan berpusu-pusu mencari tempat tinggal yang diuruskan oleh syarikat yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia,” katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Penginapan Berpusat Pekerja Asing di Mantin yang diuruskan syarikat MYR Relocation Management Sdn Bhd yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Adnan Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MYR Relocation Management Sdn Bhd M. Kamalan.

Mengulas lanjut beliau berkata dalam akta itu, sememangnya terdapat klausa mengenai keperluan majikan menyediakan penginapan untuk pekerja asing, namun ia tidak diselaraskan serta tidak terperinci.

“Dalam kertas kerja itu, kita menerangkan sekurang-kurangnya luas sesebuah bilik mestilah berkeluasan 4.5 meter persegi yang boleh memuatkan empat hingga enam pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Riot berkata pusat penginapan berkenaan hanya akan dibina di kawasan yang jauh sedikit dari taman perumahan awam.

“Sebanyak 11 syarikat yang telah diluluskan KDN dan kementerian yang akan menguruskan pembinaan penginapan berpusat ini,” katanya.

Terdahulu, Riot meluangkan masa selama setengah jam untuk meninjau sendiri penginapan berpusat itu yang bercirikan pangsapuri dilengkapi empat bilik dan ruang makan serta kemudahan lain seperti kawasan riadah. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *