PKR Jadi Parti Yang Paling Tak Popular Selepas Diceraikan PAS

16/05/2017 – Hubungan politik diantara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah sampai ke penghujung pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulama telah memutuskan bahawa hubungan politik Tahaluf Siyasi antara PAS dan PKR telah terbatal.

Keputusan itu dibuat merujuk kepada pelanggaran terhadap syarat-syarat Tahaluf Siyasi menurut pertimbangan hukum Syarak dan Akhlak Islam.

Antara perlanggaran tersebut ialah tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355, dan melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS serta membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.

Selain itu, khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kesan putus tahaluf siyasi bersama parti Islam itu, buat parti di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi parti paling rugi. Itulah yang disifatkan oleh penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib.

Malah beliau menyifatkan survival PKR kini seolah nyawa-nyawa ikan, selain dilihat lesu dan lemah dengan tiadanya hubungan bersama PAS.

Ini kerana kerugian PKR bukan sahaja dari segi sokongan akar umbi, malahan parti itu akan sukar mengendalikan jentera kempen kerana selama ini banyak bergantung pada parti di bawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“PKR harus akui bahawa mereka tiada sistem akar umbi yang kuat seperti dipunyai PAS. Hanya ada dua parti besar yang ada sistem komuniti yang kukuh iaitu UMNO dan PAS, jadi PKR kini perlu bersedia untuk ‘pupus’.

“Apatah lagi dengan wujudnya Bersatu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, maka populariti Bersatu jauh mengatasi PKR termasuk PAN.

“Kini Pakatan Harapan banyak bergantung kepada pengaruh DAP menerusi undi total kaum cina kepada Pakatan dan Bersatu untuk menambat sokongan Melayu dan pengundi atas pagar,” kata Shukri.

Baru-baru ini, Wan Azizah memutar belit cerita apabila tampil menafikan bahawa PKR telah berlaku khianat kepada parti Islam itu.

“PKR mengambil maklum keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengekalkan muafakat politik demi memenuhi aspirasi rakyat.

“PKR tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik,” kata presiden PKR itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *