Ramli Sarip Bantu Mangsa Rohingya

Di sebalik riak wajah seriusnya, pasti tidak ramai menyangka legenda rock Datuk Ramli Sarip sebenarnya mempunyai rasa prihatin yang amat tebal.

Justeru, Ramli, 66, berharap dapat mengutip sebanyak RM500,000 dalam usaha membantu nasib pelarian Rohingya menerusi ‘Konsert Pelarian Selamatkan Bumimu’ yang bakal berlangsung pada 26 Ogos depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Konsert dengan kerjasama Rasa Music Sdn Bhd ini berrtujuan membantu mangsa pelarian Rohingya.

“Lebih meriah ia akan diserikan dengan penyertaan Ratu Rock negara Ella dan apa yang saya harapkan kami dapat menyasar kutipan dana sebanyak RM500,000 untuk disalurkan ke Tabung Pertubuhan Rohingya Malaysia,” katanya kepada mStar Online.

Kata Ramli lagi apa yang lebih menarik, sehari sebelum berlangsungnya konsert, sebuah persembahan Majlis Gala Dinner berkonsepkan persembahan akustik akan diadakan di lokasi yang sama.

Tambahnya, konsert ini juga merupakan kesinambungan daripada beberapa siri konsert kemanusiaan lain yang pernah dilakukan sebelum ini termasuklah Blues Buat Teman Tour 2014 dan Konsert Doa Langit Dan Bumi untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang turut disertai Datuk M.Nasir, Datuk Awie dan Hattan.

“Saya terpanggil untuk mebantu dan berharap apa yang dilakukan ini dapat memberikan semangat kepada artis remaja kita untuk melakukan perkara yang sama,” ujarnya yang sudah hampir lima dekad berkecimpung dalam industri seni.

Konsert berdurasi dua jam setengah ini turut mendapat sokongan padu Kopi Pak Belalang, PWTC dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dalam pada itu kata Ramli, sejak dulu dalam berkarya beliau cuba meninggalkan sesuatu ‘khazanah’ yang boleh memberi impak positif kepada perkembangan industri seni tanahair.

“Pada saya tidak salah berhibur kerana fitrah manusia itu sendiri memang sukakan hiburan.

“Pun begitu, harus sentiasa beringat apakah dalam kita berhibur itu, kita turut mendapat manafaatnya? Itu yang sering saya tekankan selama ini,” katanya lagi.

Tiket-tiket konsert untuk pertunjukan amal ini dijual dari RM83 sehingga RM403.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi talian 03 21706333. – ms

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *