Rombakan jawatankuasa PAS Selangor dijangka tak lama lagi

PAS Selangor dijangka melakukan rombakan terhadap senarai jawatankuasa perhubungan negeri ini.

Rombakan itu berkemungkinan bakal menyaksikan dua jawatan Timbalan Pesuruhjaya di isi beberapa muka baharu.

Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehen Mukhyi berkata, rombakan itu akan dibincang serta diputuskan dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan beliau sendiri di Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor di Seksyen 13, di sini malam esok.

“Malam esok kita akan adakan mesyuarat dan bincangkan mengenai barisan jawatankuasa PAS Selangor yang baharu. Keputusannya mungkin kita akan ketahui selepas mesyuarat itu nanti,” katanya.

Ketika ini, dua jawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor disandang masing-masing oleh ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan ADUN Bangi, Mohd Shafie Ngah.

Mesyuarat itu merupakan yang pertama akan dipengerusikan Sallehen sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor baharu selepas pelantikannya diumumkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan pada Sabtu.

Pelantikan Sallehen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak dibuat bagi menggantikan Datuk Iskandar Abdul Samad yang ketika ini diberikan tanggungjawab menyelia kawasan tengah dan selatan semenanjung meliputi Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *