Sekolah Tahfiz Janji Tidak Akan Senarai Hitamkan Pelajar Kes Tumbuk

SHAH ALAM – Sebuah sekolah tahfiz di sini yang dikaitkan dengan kes warden mencederakan pelajar, berjanji tidak akan menyenarai hitamkan pelajar terbabit jika beliau didapati bersalah.

Ini kerana, kata ahli lembaga penasihat Darul Tahfiz Ummul Qura, Samad Rahim, mereka percaya setiap individu perlu diberikan peluang ke-2 untuk memperbaiki kesilapannya.

“Kita tidak akan senarai hitamkan pelajar ini. Ummul Qura tidak mahu pelajar dia disenarai hitamkan atau gelapkan masa depan dia. Tujuan kita memang hendak perbaiki kehidupan mereka, itu adalah matlamat pertama. Kita mahu mereka berjaya,” katanya kepada FMT.

Darul Tahfiz Ummul Qura menjadi perhatian media selepas seorang warden yang juga gurunya didakwa memukul pelajar tingkatan 1 sehingga cedera di rusuk dan lengan, pada 5 petang 10 Mei lepas.

Pelajar berusia 13 tahun itu mendakwa dirotan dan ditumbuk pada tulang rusuk sehingga bengkak. Mangsa yang kesakitan menghubungi bapanya dan dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis keesokannya.

Warden berusia 21 tahun itu yang dikatakan baru 3 minggu bertugas sebagai tenaga pengajar, ditahan pada Rabu lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis, kelmarin. Polis berkata, kertas siasatan itu akan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya pada Isnin nanti.

Mengulas lanjut, Samad berkata, mereka percaya ada hikmah di sebalik kes itu dan akan akur jika pihak berkuasa mendapati ada kesalahan di pihaknya.

“Sekiranya pihak kami membuat kesilapan dan memang beliau (warden) bersalah, ia terserah kepada undang-undang. Kita saran pihak keluarga sama-sama lihat perkara ini secara positif. Jangan ada pihak yang teraniaya, tidak kiralah di pihak kami atau ibu bapa.”

Katanya, bukan mudah untuk mendidik anak orang lain, justeru masyarakat tidak seharusnya menghakimi sekolah tahfiz menerusi berita sensasi semata-mata.

Ibu bapa lepas tangan

Samad berkata, sesetengah ibu bapa melepaskan tanggungjawab menjaga anak kepada sekolah tahfiz dan ada pula yang akan menyalahkan pihak sekolah apabila anak mereka ditimpa kecelakaan.

“Di sekolah biasa, guru-guru hanya mendidik di waktu siang sahaja, tetapi kami pula 24 jam berada di sisi pelajar, ambil alih tugas ibu bapa.

“Kalau ada yang silap, kami terpaksa telan. Kalau ada yang buat salah paling besar sekalipun, kami terpaksa juga didik kerana mereka inilah anak bangsa.

“…kalau ada kasih sayang di rumah, jika datang ke Ummul Qura, Insya Allah kerja kami di sini lebih senang,” katanya.

Pilihan terakhir ibu bapa

Beliau berkata, ada pula ibu bapa yang menjadikan sekolah tahfiz sebagai pilihan terakhir selepas anak mereka dibuang sekolah dan tidak lagi diterima sekolah biasa.

“Ada yang dibuang sekolah. Ibu bapa tidak ada tempat mahu mengadu, maka kamilah tempat mereka cari. Bahkan, sesetengah (daripada pelajar itu) tidak lagi mahu terima sekolah (biasa), hanya kita mahu menolongnya.

“Bila kita ambil, ada sesetengahnya bermasalah dan apabila bercampur dengan yang bermasalah sedikit, maka masalah bertambah.”

Masalah kewangan, tiada masa

Dalam pada itu, Samad berkata, kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke Ummul Qura menghadapi masalah kewangan dan tiada masa.

“Kebanyakan mereka datangnya daripada keluarga orang susah. Bahkan, ada sesetengahnya bukan susah dari segi duit, tetapi juga susah dari segi masa.”

Sehubungan itu, Pengetua Darul Tahfiz Ummul Qura, Abd Rasul Rahman berkata, mereka hanya mengenakan yuran bulanan RM120 kepada setiap pelajar yang merangkumi tempat tinggal, makan minum selama sebulan, iaitu RM4 sehari.

Katanya, sekolah itu akan menerima semua pelajar tanpa sebarang diskriminasi kerana mereka percaya setiap pelajar akan memperolehi hikmah apabila dikenalkan kepada ayat Al-Quran.

“Kita tidak ada temu bual, kita hanya didik mereka untuk jadi lebih berguna. Bahkan kita ambil yuran lebih kurang supaya tidak membebankan pelajar dan ibu bapa,” katanya yang memaklumkan Ummul Qura kini mempunyai 90 pelajar dan 15 kakitangan, termasuk 10 guru.

Kejadian di Shah Alam itu berlaku tidak sampai sebulan selepas kematian Mohamed Thaqif Amin Mohd Gaddaffi, 11, yang didakwa dipukul pembantu warden di sekolah tahfiznya di Kota Tinggi, Johor, pada 26 April lalu.

Pembantu warden berusia 29 tahun itu dibebaskan pada 3 Mei lalu dengan jaminan bon mahkamah RM20,000, selepas polis mengesahkan kekurangan bukti untuk mendakwanya. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *