Sekumpulan Lelaki Tanggung Malu Ditarbiah Skuad Badar Kerana Bermain Judi

SUNGAI PETANI – Lima lelaki termasuk seorang warga emas berusia 60 tahun terpaksa menanggung malu apabila ditarbiah sekumpulan ahli Skuad Badar setelah leka bermain di kedai judi ala kasino dekat sebuah perumahan di sini.

Pengerusi Skuad Badar, Azhar Mohamad berkata, kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku apabila ahli skuad berkenaan yang berperanan mencegah kemungkaran dan melakukan tugas kemasyarakatan mula memasuki premis terbabit sebelum mendapati lebih kurang 10 pengunjung Muslim berada di dalamnya.

“Bila kami sampai, mereka (pengunjung muslim) bertempiaran lari, ada yang licik gunakan pintu belakang yang telah pun disediakan pemilik premis yang bukan beragama Islam.

“Hanya lima yang kita dapat kenal pasti di antaranya termasuk seorang warga emas dan seorang lagi adalah penjawat awam berusia 27 tahun,” katanya.

Azhar berkata, kelima-lima lelaki itu dibawa keluar dan ditarbiahkan oleh ahli skuad sementara menunggu kehadiran waris dan pengambilan data peribadi atas kesalahan tidak menghormati bulan puasa.

Menurutnya, premis berkenaan merupakan salah satu lokasi panas yang dipercayai beroperasi setiap malam Ramadan dan menjadi tumpuan pelbagai bangsa termasuk umat Islam sendiri.

“Kita memberi amaran keras terhadap mereka yang terlibat atas kesalahan pertama dilakukan selain diharap insaf serta tidak mengulangi perbuatan ini,” katanya.

Beliau berkata, Skuad Badar ialah sebuah pertubuhan yang ditubuhkan pada 2016 berperanan mencegah kemungkaran.

Selain itu, ia juga menjalankan aktiviti khidmat masyarakat dengan keahlian kini mencecah 60 orang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerja awam, swasta, berniaga, kerja sendiri dan lain-lain.

“Dengan cara ini, kami juga membantu mendaulatkan undang-undang Islam dan memelihara undang-undang negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, segala maklumat dan tindakan telah dimaklumkan Pejabat Agama Daerah terlebih dahulu serta berada dalam pengetahuan pihak berkuasa berkaitan, susulan itu pihaknya akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *