Singapura beli dua Kapal Selam buatan Jerman

SINGAPURA – Singapura akan membeli dua buah lagi kapal selam buatan Jerman untuk tentera laut pulau berkenaan, kata Kementerian Pertahanan Singapura semalam.

Pembelian itu akan dilakukan ketika negara-negara di rantau Asia Pasifik dijangka meningkatkan bajet pertahanan masing-masing sehingga 60 peratus menjelang tahun 2020.

Dua kapal selam Jenis 218SG itu akan menyertai Tentera Laut Singapura yang sudahpun mempunyai dua kapal selam jenis sama yang akan diserahkan pada tahun 2021.

Kontrak kapal selam bersama Sistem Marin ThyssenKrupp itu turut didatangkan dengan pakej logistik dan latihan kru di Jerman.

Kapal selam itu akan menggantikan dua kapal selam Challenger buatan Sweden yang akan diberhentikan dalam masa beberapa tahun lagi.

Keempat-empat kapal selam itu bersama dua lagi kapal selam buatan Sweden akan menjadikan armada kapal selam Singapura antara yang terbesar di rantau Asia Pasifik.

“Tentera Laut Singapura perlu seiring dengan pertumbuhan tentera laut di Asia,” kata Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen pada Pameran dan Persidangan Pertahanan Maritim Antarabangsa di republik itu semalam. – dpa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *