Suami sepak muka isteri dipenjara 3 tahun

Perbuatan seorang suami menyepak muka isterinya kerana enggan mengikutnya pulang ke rumah ibu lelaki itu terbalas selepas Mahkamah Sesyen di Kota Bharu semalam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas tertuduh.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Sahabuddin Ahmad, 39, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap isterinya, Siti Norlizawati Ahmad, 34, di bahagian gigi dengan menggunakan kaki di Lot 487, Batu 2, Jalan Pengkalan Chepa kira-kira pukul 11 pagi pada 20 Disember 2016.

Dia yang bekerja kampung didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memohon kepada mahkamah agar memberikan hukuman ringan kepadanya kerana telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

Pada prosiding sama, isteri tertuduh yang turut dipanggil ke mahkamah untuk memberikan keterangan impak memberitahu dia sudah memaafkan perbuatan tertuduh.

“Segala perbuatan yang dilakukannya terhadap saya, saya telah maafkan,” ujarnya.

Nazri kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkap iaitu pada 22 Disember 2016. – K

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *