Susah Nak Solat Sebab Kenapa Noorkumalasari Berhenti Berlakon

Dia berbakat dan pernah berpengaruh besar, namun tiba-tiba meninggalkan dunia penuh gemerlapan yang membawa namanya naik ke awan.

Dia ialah Noorkumalasari. Sesekali muncul banyak cerita yang ingin diketahui tentang penyanyi dan pelakon terkenal itu.

Ditemui media baru-baru ini, Noorkumalasari menceritakan mengapa dia memilih untuk bersara daripada kegiatan kesenian itu.

Antara sebab Noorkumalasari ialah faktor yang mungkin dilihat remeh oleh sesetengah orang, iaitu waktu yang perlu dihabiskan untuk dia disolek, dan masa menunaikan solat.

Kata Noorkumalasari ia benar-benar memberi kesan kepadanya.

“Saya rasa penglibatan dalam aktiviti hiburan mengganggu waktu saya. Untuk bersedia membuat penampilan, saya perlu dimekapkan sekurang-kurang dua jam dan ia turut memberi kesan kepada waktu untuk solat,” katanya.

Justeru bagi Noorkumalasari atau nama penuhnya Noor Kumalasari Mohamed Taib, dalam keadaan begitu dia lebih rela memilih untuk berhenti walaupun penerbit bersedia memberi kelonggaran masa kepadanya.

Pernah lalui semua

Alasannya, adalah lebih baik dia tidak menyusahkan kru sesebuah produksi berbanding membuat mereka tertunggu-tunggu.

“Pernah ada pihak memberi tawaran kepada saya, sanggup menunggu supaya saya mahu bekerja dengan mereka, tetapi saya tidak mahu menyusahkan orang lain,” katanya.

Pelakon Adik Manja, Esok Untuk Siapa, Abang dan Mira Edora itu juga berkata, dia membuat keputusan itu juga kerana enggan terbabit dengan masalah disiplin sama ada secara langsung atau tidak.

Kata Noorkumalasari, tidak mahu dianggap sebagai aktres yang gagal menepati waktu bekerja yang dipersetujui bersama.

“Sekarang ini pun banyak saya dengar isu pelakon tidak datang ke set penggambaran atau lewat ke lokasi. Saya dah pernah melalui itu semua,” katanya.

Selepas tegas dengan keputusannya, Noorkumalasari bertekad enggan kembali aktif dalam dunia hiburan kerana ingin lebih mendekatkan diri dengan Islam.

Begitu penjelasan diberi, Noorkumalasari tetap diberi tawaran. Kali ini ia adalah lain daripada yang lain, iaitu membawakan watak ibunya, arwah Datin Umi Kalthum, dalam telefilem Pintu No 9.

Bagaimanapun, kata Noorkumalasari telefilem terbitan Zeel Production Sdn Bhd ini bukanlah petanda dia membuat kemunculan semula dalam industri hiburan negara.

Seorang di depan seorang di belakang

Sebaliknya, dia terpanggil untuk menjayakan watak berkenaan kerana berasakan tiada sesiapa yang paling layak melakonkan watak berkenaan selain dirinya yang kenal benar sikap arwah ibunya itu.

Ia juga dibuat selepas meneliti tawaran diberi Md Fadzil Teh atau lebih mesra dengan panggilan Haji Zil itu.

“Sebenarnya saya berasa tawar hati, tetapi selepas bertanyakan hal itu dan meminta kebenaran suami, saya menerimanya.

“Malahan kata suami, siapa lagi yang sesuai membawakan watak dengan lebih baik daripada saya,” katanya.

Pintu No 9 berkisar mengenai kisah pertemuan dan percintaan Umi Kalthum dan suaminya, Allahyarham Datuk S Roomai Noor. Cerita itu banyak menggunakan Mekah dan Madinah sebagai latar tempat.

Menurutnya, penceritaan mengenai percintaan ibu bapanya itu juga boleh dijadikan iktibar kepada orang ramai. Malah daripada itu jugalah Noorkumalasari mengamalkan sikap romantik dengan suaminya, Wan Mohamad Yusof.

“Ibu bapa saya amat rapat, mereka berdua saling mencintai antara satu sama lain.

“Selain itu, mereka selalu mempamerkan kebahagiaan dengan jalan berpegang tangan ke mana-mana.

“Saya nampak itu satu contoh baik kepada pasangan Melayu supaya kita sentiasa menghargai antara satu sama lain,” katanya.

Sesetengah pasangan kini, kata Noorkumalasari, tidak menampakkan kemesraan sepatutnya.

“Kadang-kadang si suami di depan manakala isteri nun jauh di belakang, tidak patutlah begitu,” katanya. – mk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *