Tambah Kuota Haji – Najib akan peluk Raja Salman sebagai tanda terima kasih.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini merakamkan ucapan terima kasih kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud kerana menambah kuota khas kepada Tabung Haji sempena musim haji kelak.

Malah katanya, tindakan pertama yang akan dibuat oleh Najib sebaik tiba di Riyadh, Arab Saudi esok adalah untuk memeluk dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Raja Salman atas perkenan itu.

“Esok saya pergi ke Riyadh, Arab Saudi, saya akan jumpa Raja Salman sekali lagi.

“Saya nak peluk Raja Salman sebab Baginda bagi kuota khas untuk haji kerana perjuangan siapa? Perjuangan UMNO,” katanya di hadapan lebih 5,000 penyokong UMNO selepas merasmikan program Bantu Rakyat anjuran Biro Kebajikan UMNO.

Kuota haji bagi Malaysia ditambah kepada 30,200 jemaah daripada 27,900 jemaah sebelum ini.

Penambahan itu adalah hasil perbincangan antara Raja Salman dan Najib semasa lawatan negara Raja Arab Saudi itu ke Malaysia baru-baru ini.

Najib dijadualkan berlepas ke Arab Saudi esok bagi Sidang Kemuncak Negara-negara Arab, Islam, dan Amerika Syarikat sempena lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Arab Saudi.

Penghujung Mac lalu, Raja Salman mengadakan lawatan ke Malaysia selama empat hari, ternyata membawa manfaat kepada Malaysia apabila menerima pelaburan berpotensi bernilai kira-kira RM40 bilion.

Kunjungan itu didorong hubungan erat antara kedua-dua negara selama hampir 60 tahun berlandaskan sikap saling hormat-menghormati dan bekerjasama dalam meningkatkan hubungan dalam semua bidang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *