Tiada Salah Jika BN Dan PAS Wujudkan Kerjasama Pada PRU14 Yang Akan Datang – Ku Li

GUA MUSANG – Tidak ada salahnya jika Barisan Nasional (BN) dan Pas mewujudkan kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, perkara itu tidak salah sekiranya memberi manfaat kepada parti.

Katanya, jika meneliti ucapan pemimpin BN dan Pas dalam ucapan serta ulasan yang dibuat oleh mereka, terdapat kecenderungan ke arah kerjasama terutama sekali dalam bidang agama.

“Dasar kerajaan ada sesetengah perkara itu disokong oleh Pas dan apa salahnya kalau dapat diwujudkan kerjasama di medan politik. (Dalam) pilihan raya pun tak merugikan Pas dan UMNO kalau ada kerjasama.

“Tetapi sama ada orang bawahan boleh terima atau tidak boleh terima itu bergantung kepada pembahagian kerusi dan macam-macam (perkara lain) seperti soal calon. Dan saya rasa, peringkat atasan akan meneliti perkara ini,” ujar beliau.

Tambahnya, sekiranya wujud kerjasama itu akan memberi keuntungan kepada kedua-dua parti berkenaan.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Festival Belia Kelantan anjuran Majlis Belia Kelantan (MBK) di Pusat Sivik, Gua Musang, Kelantan. – aw

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *