Tip Kepada Ibu Bapa Yang Sibuk Untuk Didik Anak Supaya Di Landasan Hidup Yang Betul

18/05/2017 – Bergelar ibu bapa di zaman sekarang tidak sama seperti ibu bapa di zaman dahulu. Ibu bapa sekarang kebanyakkan terlalu sibuk dengan bekerja dari siang hingga ke malam demi untuk kelangsungan hidup. Disebabkan itu ramai ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak di bawah jagaan pengasuh.

Kekangan masa ibu bapa untuk bersama anak-anak juga boleh memberi kesan buruk pada anak-anak. Pendek kata ibu bapa sekarang tak boleh leka membiarkan anak tanpa pengawasan. Tetapi dengan kesibukan urusan kerja di luar rumah, bagaimanakah cara terbaik mengawal anak-anak yang membesar supaya mereka di landasan hidup yang betul?

Pertama, perbaiki hubungan dengan pasangan terlebih dahulu. Ini perkara asas. Sebab? Anak akan mengikut contoh yang mereka lihat daripada tingkah laku ibu bapa. Jikalau ada apa-apa masalah dengan pasangan, selesaikan dahulu bersama atau sekurang-kurangnya secara tertutup bukan di hadapan anak.

Apabila ibu bapa mempunyai hubungan yang erat dan mesra di depan anak, lebih mudah untuk anda menasihati dan membimbing anak secara sepakat. Anak juga lebih mudah mendengar dan patuh arahan.

Kedua, luaskan kuasa sebagai ibu bapa. Kuasa yang dimaksudkan adalah anda perlu bersikap tegas dalam perkara yang berhubung dengan pendidikan, pergaulan dan kekeluargaan. Namun demikian, elak bersikap garang tak tentu pasal kerana sikap sebegitu boleh menyebabkan anak berkecil hati atau berdendam.

Ketiga, berkomunikasi dengan anak. Anda boleh ajak anak bersembang santai. Ambil masa untuk bertanya tentang aktiviti anak atau berkongsi cerita atau mewujudkan suasana untuk anak bercerita agar anak dapat meluahkan perasaannya dengan selesa bersama anda.

Keempat, rancang percutian keluarga. Ada orang kata aktiviti percutian ini hanya boleh dilakukan oleh orang berduit sahaja walaupun tahu aktiviti ini boleh dijadikan salah satu cara merapatkan hubungan antara ahli keluarga.

Jika tidak ada duit, atau tidak dapat cuti kerana sibuk, luangkan masa untuk berpiknik atau pergi ke tempat menarik yang berdekatan dengan rumah untuk satu masa yang singkat. Hubungan yang rapat tercipta ketika masa diluangkan bersama-sama itu dapat memudahkan anda menegur atau menasihati anak.

Kelima, tetapkan had dan sempadan. Anak berusia remaja akan mengalami satu krisis di mana mereka akan lebih bersifat memberontak dan mahu kebebasan. Jika ini berlaku, anda cuba beri ruang kepada anak tetapi tetapkan sempadan. Anak akan belajar menghormati kepercayaan yang diberi.

Anda juga boleh jelaskan apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh sambil menerangkan kesannya ke atas hidup anak kelak. Terutamanya dalam bab pergaulan dengan rakan sebaya.

Keenam, berkenalan dengan rakan anak dan keluarga mereka. Bagus jika anda saling kenal rakan-rakan anak supaya lebih mudah memantau aktiviti mereka. Lebih bagus lagi jika anda dapat kenal ibu bapa rakan anak juga.

Melalui perhubungan baik ini, anda dapat bekerjasama untuk saling memerhati dan menegur kesalahan atau sebarang perlakuan yang kurang baik pada anak-anak di waktu kita sedikit sibuk.

Ketujuh, dedahkan dengan agama. Pucuk pangkal asas kehidupan ialah agama. Sejak dari kecil anda boleh didik anak dekat dengan agama melalui perbuatan dan perlakuan anda sebagai ibu bapa mereka.

Pendidikan agama tentang akhlak dan adab secara tidak langsung di rumah atau ketika bersama anak-anak biarpun dalam tempoh yang singkat dapat memberi kesan yang positif juga. Jadikan agama itu sebahagian daripada hidup, bukan diasing-asingkan daripada kehidupan seharian. Terapkan rasa bangga dalam diri anak terhadap agama yang dijunjung.

Ibu bapa sekarang perlu lebih kreatif dalam membesarkan anak-anak dan mengikut apa yang trending pada masa sekarang supaya kita boleh seiring dengan tumbesaran anak. – MissA/UtaraNews.com 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *