Tujuh Tan Metrik Minyak Masak Dijual Lebih Murah Untuk Kegunaan Ramadan

TANAH MERAH – Sebanyak tujuh tan metrik minyak masak bersubsidi dari kilang dijual pada harga lebih murah dan tanpa had pembelian kepada penduduk daerah ini untuk kegunaan Ramadan di sini, semalam.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) daerah, Wan Mohd Marzuki Wan Abdul Kadir berkata, jualan minyak masak terus dari kilang itu melibatkan tiga lokasi tumpuan di daerah ini.

Menurutnya, lokasi terbabit ialah kawasan tempat letak kereta Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), ruang legar stesen minyak Petron di Kampung Belimbing dan Pasar Pagi Gual Ipoh.

“Sempena program ini, orang ramai boleh beli empat paket minyak masak bersubsidi pada harga RM10, manakala peruncit boleh beli dua kotak (34 kilogram) pada harga RM42 sekotak.

“Harga RM10 untuk empat paket atau empat kilogram minyak masak sama cuma kalau di pasar raya, pembelian dihadkan kepada dua paket sahaja. Bagi peruncit, mereka dapat murah 50 sen untuk sekotak,” katanya.

Wan Mohd Marzuki berkata demikian pada program Friends of KPDNKK Bersama Masyarakat jualan minyak masak bersubsidi terus dari kilang sempena sambutan Ramadan 2017 di stesen minyak Petron dekat Kampung Belimbing.

Program dihadiri Ketua Wanita Umno Bahagian Tanah Merah, yang juga Pengarah Dun Bukit Panau, Dayang Saniah Awang Hamid, Pentadbir Mukim Dun itu, Che Othman Che Amat dan wakil Pengarah KPDNKK negeri, Hashim Hassan.

KPDNKK Kelantan sebelum ini dilaporkan menyediakan sebanyak 140 tan metrik minyak masak bersubsidi dari kilang untuk dijual terus kepada pengguna di seluruh negeri ini bagi kegunaan Ramadan.

Bagi memenuhi keperluan menyambut Aidilfitri pula, fasa kedua program sama akan dilaksanakan KPDNKK dalam minggu pertama Ramadan ini. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *