[VIDEO] Dah 20 Tahun, My Heart Will Go On Masih Lagi Berhantu

20 tahun usia lagu My Heart Will Go On nyanyian Celine Dion dan ia masih malar segar hingga hari ini.

Mengembalikan momen indah ketika kegemilangan lagu yang melatari filem Titanic itu, Celine tampil penuh memukau ketika Billboard Music Awards (BBMAs) 2017 yang berlangsung di T-Mobile Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat semalam.

Menyarung busana couture rekaaan Stephane Rolland, Celine mempersembahkan lagu yang pernah meraih pencapaian tertinggi dalam industri muzik antarabangsa itu dengan penuh emosi.

Ada yang menyifatkan persembahan itu umpama iceberg (bongkah ais) seperti dalam filem Titanic. Gaun putih dengan struktur ekstravaganza pada bahu dilengkapi perincian seakan metalik memberikan efek seperti ais dan serpihan kapal dengan lebih jelas.

Persembahan luar biasa itu juga mengingatkan kembali tentang kehilangan mendiang suaminya, Rene Angelil yang meninggal dunia tahun lalu.

Malah, sepanjang persembahan semalam, Celine berjaya membuatkan penonton yang hadir terpegun dan tersentuh hingga ada yang mengalirkan air mata.

Lagu My Heart Will Go On dicipta oleh James Horner pada tahun 1997 dan pernah mengungguli kategori Record of the Year dan Song of the Year pada Grammy Awards ke-14 (1999) dan menerima anugerah Best Original Song pada Academy Awards 1997.

Video yang telah dimuat naik di Youtube itu sudah ditonton lebih 1.3 juta kali dalam tempoh sehari dan mendapat pelbagai komen positif.

Sementara itu, BBMAs 2017 turut menyaksikan kepulangan diva disko Cher yang menerima Anugerah Billboard Icon of the Year. – ag

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *