Virus WannaCry dikaitkan dengan penglibatan Korea Utara

SEOUL – Penyelidik-penyelidik keselamatan siber menemui bukti mengaitkan Korea Utara dengan serangan siber WannaCry yang menjangkiti lebih 300,000 komputer di seluruh dunia ketika pihak berkuasa global berusaha menghalang penggodam daripada menyebarkan versi baharu virus itu.

Seorang penyelidik daripada firma Hauri Labs di Korea Selatan semalam berkata, penemuan mereka menyamai keputusan yang diperoleh Symantec dan Kapersky Lab.

Kedua-dua firma keselamatan siber itu menyatakan kelmarin bahawa kod dalam perisian jahat WannaCry juga pernah muncul dalam program yang digunakan Kumpulan Lazarus, penggodam yang ditaja Korea Utara.

“Ia serupa dengan kod jahat Korea Utara (Kumpulan Lazarus),” kata penyelidik kanan Hauri, Simon Choi.

Kedua-dua Symantec dan Kapersky bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk memastikan sama ada Korea Utara terlibat dalam siri serangan global itu.

Serangan itu yang semakin perlahan kelmarin merupakan antara peras ugut siber paling pantas menular dalam sejarah. Kerosakan di Asia bagaimanapun terhad.

Media Vietnam melaporkan semalam bahawa lebih 200 kompu­ter di negara itu terjejas, manakala syarikat pembekal tenaga elektrik, Taiwan Power Co, memberitahu, hampir 800 komputernya diserang.

Kumpulan penggodam Lazarus yang bekerja untuk Korea Utara dilihat nekad dalam melakukan serangan siber untuk tujuan manfaat kewangan.

Kumpulan itu didakwa bertanggungjawab mencuri wang berjumlah AS$81 juta (RM351 juta) dari bank pusat Bangladesh, manakala AS menuduh ia menjadi dalang serangan siber terhadap Sony Pictures dalam tahun 2014. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *