Wan Azizah Didakwa Ketepikan Sultan Di Selangor

18/05/2017 – Pada 11 Mei lalu, tamat sudah hubungan politik diantara parti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Majlis Syura Ulama telah memutuskan bahawa hubungan politik Tahaluf Siyasi antara PAS dan PKR secara rasminya telah terbatal.

Selepas putusnya hubungan ini, hubungan kedua-dua parti semakin teruk dan seolah-olah sukar dipulihkan lagi. Ini dapat dilihat apabila parti Islam itu dan PKR saling bercakaran dalam pelbagai isu.

Isu hangat yang buat kedua parti yang pernah menjadi rakan sekutu sebelum ini, bertegang urat dan saling bercakaran ketika ini adalah mengenai kedudukan tiga Exco PAS Selangor. Tiga Exco PAS berkenaan digesa meletakkan jawatan susulan putusnya hubungan politik diantara kedua parti.

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismai didakwa cuba untuk membalas dendamnya kepada parti Islam itu kerana menamakan Datuk Seri Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, 2013.

Itulah yang didakwa oleh bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tan Tuan Tat. Hal ini ekoran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memilih Azmin yang dicalonkan PAS, sedangkan DAP dan PKR pada waktu itu masih berada didalam Pakatan Rakyat, hanya mencalonkan Wan Azizah.

Jadi, setelah PAS memutuskan untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR sepertimana yang dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulama PAS, Wan Azizah mengarahkan agar exco PAS Selangor untuk meletakkan jawatan.

“Kerana tak dapat jadi Menteri Besar, jadi Wan Azizah mahu balas dendam kepada PAS?” soal Tuan Tat.

Selain itu, Tuan Tat turut menempelak dan mempersoalkan kedudukan Wan Azizah yang cuma ADUN Kajang tetapi cuba mengatasi Azmin selaku Menteri Besar.

“Adakah Timbalan Presiden PKR Azmin Ali selaku Menteri Besar lebih berkuasa ataupun Presiden PKR Wan Azizah yang cuma ADUN Kajang?

“Pemecatan exco cuma boleh dibuat oleh Sultan Selangor. Apa Wan Azizah nak cakap Selangor tak ada Sultan ke? Atau Wan Azizah lagi berkuasa daripada Sultan?.

“Tolong hormat Sultan,” kata Tuan Tat.

Bukan setakat isteri bekas Ketua Pembangkang itu sahaja membuat desakan itu, malah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut mendesak tiga exco PAS Selangor melepaskan jawatan daripada pentadbiran kerajaan negeri.

Susulan daripada kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu, Wan Azizah kemudiannya mengarahkan semua ahli PKR yang memegang jawatan lantikan di Kelantan melepaskan jawatan ekoran tidak lagi mempunyai kerjasama dengan PKR.

Sehubungan itu, Tuan Tat turut mempersoalkan lagi samaada keputusan Wan Azizah mendesak exco PAS meletakkan jawatan diatas arahan parti rasis dan cauvinis DAP?.

Ini kerana pengkhianatan Wan Azizah kepada PAS ini adalah sama seperti pengkhianatannya kepada pengundi, sungguhpun beliau sekadar ‘pemanas kerusi’ kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara diatas kesalahan meliwat.

“Ini juga satu bentuk pengkhianatan kepada pengundi. Wan Azizah sudah lupa ke apabila PKR melancarkan Langkah Kajang, penyokong PAS yang mengundi beliau dan menjadikan kamu sebagai ADUN Kajang.

“Sekarang ini orang Kajang bertanya, dimana Wan Azizah. Dimana ADUN Kajang? Kerana dia tak pernah jaga kawasannya,” kata Tuan Tat.

Tuan Tat turut mengulas kenyataan Wan Azizah mengakui sekadar pemanas kerusi Anwar, dengan menyifatkan PKR tidak mempunyai calon lain bagi kerusi nombor satu parti ataupun bagi jawatan Perdana Menteri.

“Siapa sahaja yang ada? Azmin? Tian Chua? Elizabeth Wong?. Semua tak boleh pakai.

“Rafizi? Ini lagi seorang. Buat pelbagai tuduhan dan fitnah. Bila dibawa ke mahkamah dia kata tuduhan itu sekadar jenaka sahaja. Inikah pemimpin mereka? Layakkah mereka jadi pemimpin? Jadi Perdana Menteri?” tanya Tuan Tat. – Utaranews.com