Warga Asing beli Kad Hijau palsu dari ejen pekerjaan.

BATU KAWAN – “Saya tak tahu kad ini palsu, saya beli daripada ejen sebelum kerja di sini,” demikian dakwa seorang warga asing tatkala didapati memiliki kad pendaftaran personal binaan atau kad hijau palsu dalam operasi bersepadu dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), semalam.

Warga asing yang dikenali sebagai Md Hussein ini berkata, dia menerima kad hijau daripada ejennya setelah membayar hampir RM3,500.

“Saya datang Malaysia sudah lima tahun, saya baru saja kerja di tempat ini.

“Ini kad saya tak tau kata palsu, masa mula datang saya ada bayar wang sama ejen, itu dia kasi permit dan dapat ini kad,” katanya.

Dalam operasi sama, beberapa pekerja warga asing bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak penguat kuasa.

Namun, tindakan pantas daripada pihak berkuasa berjaya menghalang tindakan beberapa individu yang cuba melarikan diri.

Pengarah Lembaga Pemba-ngunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Mohamad Faizal Abdul Hamid berkata, operasi bersepadu itu turut sama disertai Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Jabatan Tenaga Kerja, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Kesihatan negeri (JKN) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Operasi ini dijalankan melibatkan dua lokasi iaitu di Bandar Cassia dan Batu Kawan serta melibatkan empat tapak pembinaan di kawasan berkenaan.

“Seramai 151 pekerja binaan diperiksa dan hasilnya hampir separuh iaitu sekitar 77 pekerja binaan tidak memiliki kad pendaftaran personal binaan atau kad hijau, “ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sebuah hotel di Seberang Jaya, di sini, semalam.

Katanya, dalam operasi yang dijalankan, pihaknya mendapati terdapat seorang pekerja binaan warga asing yang memiliki kad hijau palsu.

“Kita akan mengambil tindakan tatatertib berkaitan perkara ini, pertama sekali kita akan menyusul dengan membuat laporan polis.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes ini dan akan mengenal pasti tindakan berhubung perkara ini,” katanya.

Menurutnya, kes memiliki kad hijau palsu ini bukan pertama kali berlaku dalam setiap operasi yang dijalankan sebelum ini.

“Namun ia tidak kerap berlaku dan berdasarkan operasi yang dijalankan ini pun, hanya satu pekerja warga asing yang memiliki kad hijau palsu.

“Statistiknya perlu disemak semula berdasarkan operasi yang sebelum ini, namun ia dalam keadaan yang masih terkawal,” katanya.

Katanya, pemilihan projek dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima dari semasa ke semasa.

“Daripada apa yang kita sedia maklum, di Batu Kawan ini ia merupakan sebuah kawasan yang rancak membangun dan operasi ini dijalankan agar pematuhan segala akta berkenaan industri pembinaan sentiasa dipatuhi.

“Di bawah Akta 520 Pindaan 2011, terdapat beberapa peruntukan, pertama tentang pendaftaran pihak kontraktor, di mana pihak kontraktor yang melakukan kerja pembinaan, dia perlu mempunyai perakuan pendaftaran kontraktor yang sah.

“Peruntukan standard untuk bahan binaan, pastikan bahan binaan berkenaan mematuhi standard yang ditetapkan dan beberapa lagi peruntukan yang perlu dipatuhi pihak kontraktor,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi yang sama, Jabatan Imigresen Pulau Pinang berjaya menahan 43 pekerja asing dalam operasi yang diadakan ini.

Penolong Pengarah Imigresen negeri, Khwaja Banthey Navaz Mohd Hanief berkata, kesemua warga asing ini ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah dan salah guna pas.

“Kesemua warga asing ini berumur lingkungan 21 hingga 53 tahun, kesemua mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Juru untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *