Wartawan Mexico adakan bantahan tentang keselamatan.

BANDAR RAYA MEXICO – Pemberita di Mexico membuat liputan sidang akhbar kelmarin dengan memakai pakaian hitam dan membawa bersama gambar rakan sekerja mereka yang dibunuh untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya membendung peningkatan serangan maut terhadap pekerja dalam bidang kewartawanan.

Protes dan acara berkabung itu diadakan di hadapan bangunan Kementerian Dalam Negeri, Bandar Raya Mexico dan menyusul selepas ‘hari maut’ untuk petugas media di negara itu.

Kartel-kartel dadah menjadikan Me­xico antara negara paling berbahaya kepada wartawan.

Pada Isnin lalu, pemberita jenayah terancang, Javier Valdez ditembak mati oleh penyerang tidak dikenali di negeri Sinaloa, barat laut Mexico, manakala sekumpulan lelaki bersenjata membunuh seorang wartawan sebuah majalah mingguan di negeri Jalisco pada hari sama dan mencederakan ibunya.

Pihak berkuasa masih belum melakukan tangkapan dalam dua kes terbaharu itu.

“Mereka (pihak berkuasa) berkata, mereka sedang melakukan siasatan dan kebebasan bersuara dilindungi di negara ini tetapi sebenarnya tidak,” kata aktivis hak wartawan, Juan Carlos Aguilar dalam tunjuk perasaan di Bandar Raya Mexico.

Menurut pertubuhan hak kebebasan bersuara, Articulo 19 , sebanyak 11 wartawan di bunuh di Mexico pada tahun lalu.

Pemberita-pemberita turut menulis slogan “mereka membunuh kami” di kaki monumen dikenali sebagai Malaikat Kemerdekaan di pusat bandar raya itu dan menunjukkan gambar wartawan yang dibunuh kepada pengguna jalan raya.

Protes serupa turut diadakan di beberapa bandar lain termasuk Culiacan di mana Valdez dibunuh.

Valdez menghabiskan masa bertahun-tahun membuat liputan tentang keganasan di Mexico, manakala kematiannya mencetuskan kesedihan di negara Amerika Tengah itu.

Pembunuhan dua wartawan itu yang berlaku menjelang satu pilihan raya ne­geri pada bulan depan dan pilihan raya Presiden pada tahun 2018, mencetuskan kebimbangan bahawa orang ramai tidak akan mendapat maklumat sewajar­nya.

“Pembunuhan ini bukan pembunuhan biasa. Pembunuhan ini menyasarkan mereka yang berani bersuara,” kata wartawan bebas, Paula Monaco semasa tunjuk perasaan tersebut.

Mexico bergelut untuk mengekang peningkatan keganasan melibatkan kartel-kartel dadah di negara itu.

Keganasan itu menyebabkan kes pembunuhan di negara itu melonjak ke paras tertinggi sejak tahun 2011. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *