100 Juta Follower Di Twitter, Katy Perry Cipta Sejarah

Bintang pop, Katy Perry mencipta sejarah apabila menjadi pengguna pertama Twitter mendapat 100 juta pengikut, umum platform media sosial itu.

“Hari ini kita melihat sesuatu yang bersejarah. Tahniah Katy Perry, yang pertama mendapat 100 juta pengikut!” kata Twitter dalam satu kenyataan yang menggunakan hashtag #WITNESShistory iaitu juga rujukan kepada album kelima dan terbaru Katy.

Penyanyi berusia 32 tahun itu baru-baru ini menyiarkan kehidupannya secara langsung selama 96 jam dan mengajak peminatnya menyaksikan aktiviti hariannya tidur, masak, melakukan yoga, bermain dengan anjingnya Nugget serta berbual dengan beberapa selebriti yang mengunjungi rumahnya.

Walaupun kehidupannya disiarkan untuk seketika menerusi 41 kamera, Katy – atau nama sebenarnya Katheryn Hudson – mengakui tahap perhatian diberikan terhadap kehidupannya masih sukar diterima sepenuhnya.

“Saya memang mempunyai watak Katy Perry yang dikenali semua orang tetapi sebenarnya ia sekadar topeng.

“Saya cuma manusia biasa yang hidupnya diperhatikan,” katanya.

Penyanyi Justin Bieber di tempat kedua di Twitter dengan hampir 97 juta pengikut, manakala saingan utama Katy, Taylor Swift memiliki 85 juta. – stv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *