6 Alasan Rezeki Sempit Sebab Tak Hargai Isteri

19/06/2017 – Dalam Islam pernikahan adalah sunnah hukumnya. Jika mahu memperoleh rezeki yang banyak, bernikahlah kerana pernikahan merupakan salah satu jalan sebagai pembuka pintu rezeki. Membahagiakan isteri boleh melancarkan rezeki dan jangan sakiti hati isteri kerana suami yang menyakiti hati isteri akan disempitkan rezekinya.

‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’, jika berlaku masalah dalam rumahtangga, selesaikan dengan cara yang baik. Jangan kerana masalah yang kecil atau remeh, suami sanggup menyakitkan hati isteri dan menyebabkan rezeki sempit. Ini antara enam kesan membuatkan rezeki suami semakin sempit.

Pertama, isteri rasa tidak bahagia. Apabila sering disakiti oleh suami, pasti isteri rasa tidak bahagia dan perkara ini akan memberi kesan dalam tugas harian isteri. Tetapi, jika isteri rasa bahagia secara tidak langsung isteri akan menjadi perangsang terbaik untuk suami mencari lebih banyak rezeki.

Kedua, isteri menjadi orang yang tidak bersyukur. Jika suami sering menyakiti hati isteri dalam bentuk ucapan atau tindakan isteri pasti rasa tidak bersyukur kerana mempunyai suami seperti ini. Tetapi, jika isteri disenangi oleh suami, pasti dia berasa bersyukur kerana mempunyai suami seperti anda dan akan sentiasa mendoakan rezeki suami terbuka luas.

Ketiga, isteri tidak ikhlas melayani suami. Jika isteri dilukai suami pasti segala layanan yang diberikan isteri pada suami dilakukan secara paksaan atau tidak ikhlas. Apabila seorang isteri tidak ikhlas dalam melayani suami, pintu rezeki akan tertutup. Namun, jika pasangan ikhlas dalam memberi layanan mereka maka Allah akan menggandakan ganjaran rezeki yang luas untuk keluarga.

Keempat, mood isteri terganggu. Apabila seorang isteri mula kecewa dengan suami pasti akan memberi kesan pada mood mereka. Perasaan negatif mula berlaku setiap kali mood isteri terganggu dan perkara ini akan menyebabkan berlaku pertengkaran dalam rumah tangga.

Kelima, isteri tidak menyokong suami. Jika sebelum ini isteri akan memberi sokongan dalam setiap perkara yang dilakukan suami. Tetapi saat hati mereka terluka isteri akan kurang memberi sokongan pada suami. Perkara ini sebenarnya memberi kesan pada suami dan rasa hilang semangat, terutama sekali apabila suami ditimpa masalah.

Keenam, beri kesan terhadap anak-anak. Jika isteri sudah mula terluka perkara ini akan memberi kesan pada perkembangan anak-anak. Cara layanan isteri pada anak-anak juga mungkin berkurang berbanding sebelum ini jika isteri bahagia. Anak-anak juga merupakan rezeki dalam rumah tangga.

Apapun, tidak salah membahagiakan isteri sendiri kerana dia adalah satu-satunya insan yang sentiasa berada di samping suami ketika susah dan senang. Disebalik kejayaan seorang lelaki, pasti dibelakangnya berdiri seorang wanita. Jika mahu rezeki luas, bahagiakan isteri anda. Ramai orang kaya pun tak bahagia kerana tak menghargai isteri. Memiliki semuanya seisi dunia tetapi tidak memiliki walau secebis bahagia di dalam hati. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *