Amah Bunuh Majikan Dengan Bantal

Jika sebelum-sebelum ini kita sering disajikan dengan berita penderaan atau salah laku majikan terhadap pembantu rumah.

Namun, mStar Online semalam melaporkan polis menahan seorang ‘amah’ warga Indonesia kerana disyaki menekup bantal ke muka majikan sehingga menyebabkan kematian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nayan, pihaknya menerima maklumat mengenai wanita berusia 65 tahun terbaring tidak sedarkan diri di atas katil dengan sebuah bantal yang menutup wajahnya, pada awal bulan ini.

“Kita temui wanita itu dalam bilik utama dan jiran-jirannya mendakwa tidak mendengar sebarang bunyi bising. Adik mangsa turut memaklumkan bahawa pintu rumah kakaknya dikunci dari dalam,” kata Othman kepada mStar Online.

Menurut laporan, warga emas yang sudah bersara itu tinggal di rumah berkenaan dengan seorang pembantu rumah berusia 25 tahun, manakala suami mangsa pula meninggal dunia 15 tahun lalu.

“Pasangan tersebut tidak mempunyai anak dan mangsa ada masalah jantung,” katanya.

Tambah Othman, suspek dipercayai melarikan diri sejurus kejadian berlaku dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan asphyxiation (kelemasan) selain terdapat kesan gigitan pada puting payudara kanannya.

Suspek ditahan pada Khamis lalu, berhampiran Negeri Sembilan bersama seorang lelaki warga Indonesia berusia 29 tahun yang dipercayai ada kaitan dengan kes terbabit.

Kedua-dua suspek direman sehingga 21 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori. – CARI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *