Apakah Rakyat Pulau Pinang Mahu Ketua Menteri Yang Berlidah Biawak Dan Kuat Putar Belit?

20/06/2017 – Kekejaman dan kerakusan Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng menindas rakyat dan melakukan kerosakan terhadap negeri tersebut, sememangnya tidak boleh dinafikan lagi. Saban hari kerosakan demi kerosakan dilakukan kerajaan DAP terdedah dan didedahkan.

Ini dapat dilihat sejak kerajaan parti rasis dan cauvinis DAP mengambil alih negeri Pulau Pinang yang sebelumnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2008, rakyat negeri Pulau Mutiara itu diasak dengan pelbagai cukai sehingga membebankan rakyat.

Tak cukup itu, kerakusan Kerajaan DAP Pulau Pinang menjual hartanah kepada pelabur luar dan dalam. Kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat hanya mementingkan untuk penuhkan kantung mereka sahaja berbanding mengutamakan kebajikan rakyat.

Lebih jeliknya apabila cuba menyembunyikan kekurangan pentadbirannya dengan menunding jari kepada pihak lain untuk dipersalahkan. Itulah cara mudah yang sering digunakan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang. Mereka sering mengelak daripada bertanggungjawab atas masalah mereka timbulkan.

Apa yang penting bagi mereka, hanya kepura-puraan untuk menunjukkan bahawa pentadbiran kerajaan parti rasis dan cauvinis DAP tiada masalah dan lebih baik daripada pentadbiran di bawah kerajaan sebelum ini.

Jadi, memang wajarlah apabila Presiden Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim menempelak dan mempersoalkan sampai bila Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu mahu menjadi muka tembok, terus memekakkan telinga dengan tidak menjawab pelbagai persoalan yang dilemparkan kepadanya.

Jika menjawab pun hanyalah dengan meletakkan kembali kesalahan kepada pihak lain. Itulah sikap jelik yang sering ditonjolkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang yang sering mendabik dada mengatakan pentadbirannya ‘bagus’ dan ‘tiada masalah’ itu.

“Dari dulu sikap Guan Eng memang tidak menjawab persoalan… lain yang ditanya lain pula yang dijawab. Ini situasi putar belit Guan Eng yang berlaku sejak dahulu termasuklah di awal skandal pembelian banglo di jalan Pinhorn terbongkar.

“Guan Eng tidak jawab kenapa dan bagaimana dia boleh beli banglo mewah itu di bawah harga pasaran tetapi cara menjawabnya adalah dengan mengajak pihak media datang ke rumahnya dan minum kopi selain memberi alasan tiada kolam renang.

“Begitu juga ketika ditanya mengapa banjir di negeri itu tidak boleh diselesaikan dalam masa sembilan bulan seperti yang dijanjikan… jawapan yang diberi Guan Eng adalah kerajaan pusat tidak beri duit namun bila sudah dapat RM150 juta, masalah banjir tidak selesai juga,” ujar Azrinizam.

Tambahnya, bukan itu sahaja, kira-kira beberapa minggu lalu ketika Guan Eng ditanya tentang status 51 projek yang gagal dilaksanakan di Pulau Pinang, dia menggunakan pihak lain untuk memberikan jawapan dengan meletakkan kesalahan kepada Barisan Nasional (BN).

“Persoalan yang dilemparkan oleh Pasukan Komunikasi Strategik BN kepada Guan Eng juga tidak dijawab, sedangkan ia hanya memerlukan jawapan ia atau tidak sahaja.

“Begitu juga persoalan berkaitan rumah kos rendah dan mampu milik.. Itu belum lagi jawapan yang dituntut tentang isu kos pembinaan terowong dasar laut yang telah menelan belanja begitu besar namun hasilnya langsung tiada.

“Guan Eng perlu menjadi seorang yang lebih profesional selaras dengan jawatan yang disandangnya. Jika pembangkang sering mendesak kerajaan pimpinan BN menjawab pelbagai tohmahan yang dilemparkan maka kenapa bila terkena batang hidung sendiri, DAP tidak berani menjawab,” bidas Azrinizam.

Justeru, apakah rakyat Pulau Pinang masih mahukan Ketua Menteri yang berlidah biawak dan kuat putar belit seperti Guan Eng ini terus berkuasa memerintah negeri ini?

Jika masih mahu terus ditindas, dipersilakanlah untuk memilih DAP. Pastinya selepas itu, akan terus mendengar tanah-tanah di negeri akan dijual dan digadai habis bagi membiayai kantung kerajaan negeri. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *