Azan 5 Minit Awal, Rakyat Kelantan Perlu Ganti Semula Puasa

20/06/2017 – Hanya kerana azan diputarkan 5 minit awal, pendengar-pendengar radio THR Gegar di Kalantan yang telah berbuka puasa awal perlu menggantikan puasa tersebut. Stesen radio THR Gegar telah memutarkan azan maghrib 5 minit awal kerana kesilapan teknikal dan telah membuat memohon maaf kepada rakyat negeri Kelantan berikutan perkara itu.

Seorang pengguna yang dikenali sebagai Az Mie telah menyatakan stesen radio Gegar negeri Kelantan telah memutarkan azan Maghrib pada pukul 7.23 malam sedangkan waktu berbuka di negeri itu sepatutnya pada 7.27 malam.

Pihak THR Gegar telah tampil memohon maaf secara terbuka di ruangan komen laman facebooknya dan meminta ada antara rakyat Kelantan yang telah berbuka puasa setelah mendengar azan dari radio itu untuk mengganti semula puasa mereka.

“Kami di Thr Gegar memohon maaf di atas gangguan sistem yang berlaku semalam dan berdasrkan Jumhur Ulama, puasa yang terbuka awal perlu diganti. Pihak kami amat kesal dengan apa yang berlaku. Maaf kosong-kosong dari hati,” tulisnya.

Pegawai Dakwah Jajahan Tumpat, Nik Nizam Nasir berkata setelah meneliti beberapa pandangan jumhur ulama walaupun ada perbezaan pandangan, pihaknya menasihati perkara yang berlaku itu adalah batalnya puasa dan wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam, menggantikan puasa tersebut.

“Jumhur ulama membezakan masalah ini antara terlupa dengan tersalah. Kalau kita terlupa dimaafkan. Tapi kalau tersalah ianya atas kelalaian diri kita. Kita sudah ada jam, takwim. Maka kelalaian dapat dielakkan kalau kita ada sikap berhati-hati.

“Walaubagaimanapun ada ulamak seperti Ishaq Bin Rahawaih, AzZohiri menyanggah pendapat jumhur ini. Mereka mengatakan tidak batal dan hukum tersalah ini sama dengan hukum lupa.

“Nasihat saya dalam mazhab kita lebih mengutamakan ihtiyat. Maka ganti atau qadha adalah lebih aula walaupun ada pendapat kecil dikalangan ulama tak kena qadha,” jelasnya.

Susulan itu banyak pihak menasihati stesen radio supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang supaya kesilapan seperti ini tidak berulang lagi. Apapun, diharap semua pihak juga perlu lebih berhati-hati dan sentiasa melihat jam bagi mengelakkan perkara seperti ini berlaku. – MissA/UtaraNews.com