Balasan Allah Pada Orang Yang Rajin Bersedekah

19/06/2017 – Sedekah adalah pemberian seorang kepada orang lain secara sukarela dan ikhlas tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Malah dalam Islam, perbuatan seperti senyuman juga ditulis sebagai sebuah sedekah.

Sedekah itu bukan dipaksa, tetapi melakukannya dengan ikhlas kerana mahu membantu orang lain. Sedekah tidak hanya dalam bentuk harta benda saja, senyum, memberi nafkah keluarga, mengajarkan ilmu, berzikir, malah melakukan hubungan suami isteri itu disebut dengan sedekah. Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah membuka pintu rezeki. Ini antara 6 balasan Allah pada orang yang rajin bersedekah.

Pertama, menghapuskan dosa-dosa orang yang bersedekah. Rasulullah SAW, beliau bersabda: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR. Tirmidzi). Diampuninya dosa dengan sebab sedekah di sini tentu saja harus disertai taubat atas dosa yang dilakukan.

Kedua, dapat berteduh di hari kiamat. Seseorang yang bersedekah akan dapat berteduh di hari kiamat. Dalam sebuah hadis dinyatakan terdapat 7 orang yang akan dapat berteduh di hari kiamat dari kepanasan di padang mahsyar. Salah seorang golongan tersebut adalah orang yang suka bersedekah.

“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (HR. Bukhari)

Ketiga, harta tidak akan berkurang tetapi makin bertambah. Orang yang bersedekah ini hartanya tidak akan berkurang walaupun disedekahkan semua hartanya. Rasulullah SAW bersabda: “Harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kebaikkan baginya” (HR. Muslim).

Keempat, dapat membebaskan dari seksaan kubur. Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.” [HR. Ath-Thabrani]

Kelima, terdapat pintu syurga hanya untuk orang yang bersedekah. Dalam sebuah hadits, Rasulullah SAW bersabda: “Orang memberikan menyumbangkan dua harta di jalan Allah, maka dia akan dipanggil oleh salah satu dari pintu syurga: Wahai hamba Allah, ke marilah untuk menuju kenikmatan. Jika dia berasal dari golongan orang-orang yang suka mendirikan solat, dia akan dipanggil dari pintu solat, yang berasal dari kalangan mujahid, maka akan dipanggil dari pintu jihad, jika dia berasal dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” [HR. Bukhari dan Muslim]

Keenam, menjauhkan diri dari api neraka. Sesungguhnya sedekah itu walaupun sedikit, memiliki andil untuk menjauhkan kita dari api neraka. Semakin banyak sedekah, semakin jauh kita darinya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda

“Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma. Jika kamu tidak punya, maka bisa dengan kalimah thayyibah” (HR. Al Bukhari dan Muslim)

Itulah janji Allah kepada hambaNya yang suka bersedekah dengan ikhlas dan tidak menunjuk-nunjuk semasa bersedekah. Jika bersedekah yang untuk menunjuk-nunjuk, maka hilanglah janji yang telah Allah berikan itu. Oleh itu lakukanlah sedekah secara ikhlas. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *