Banyak Masjid Tidak ‘Mesra Wanita’

20/06/2017 – Masjid dan surau adalah tempat tumpuan umat Islam untuk mengerjakan ibadah. Tetapi, masjid atau surau sering dikatakan terlalu bersifat kelelakian terutamanya berkaitan kekurangan kemudahan bercirikan mesra wanita.

Maksud masjid mesra wanita ini ialah kemudahan bagi wanita daripada tandas, bilik wudhu dan tempat sembahyang adalah memudahkan para wanita untuk mendapatkannya. Dengan kata lain, semua kemudahan tadi berada dalam satu ruang yang tertutup dan berhampiran antara satu sama lain.

Yang sering dilihat di kebanyakkan masjid atau surau walaupun bekeluasan besar, masih tidak mengamalkan konsep mesra wanita. Wanita ini membuat luahan pendapat tentang perkara ini. Kebanyakan masjid, tandas atau tempat mengambil wuduk adalah agak berjauhan dengan dewan solat wanita. Terpaksalah para wanita, memakai tudung semula setelah berwudhu. Dalam keadaan itu, pastinya menyukarkan pergerakan seseorang wanita itu.

“Kebanyakan design masjid sekarang, bagi saya tak mesra wanita. Banyak saja mesra wanita, tapi banyak juga yang tidak. Apa maksud mesra wanita ini? Maksudnya, masjid yang menjaga aurat dan kemudahan wanita. Sesetengah masjid, tandas dan tempat wudhunya jauh di luar. Kami wanita ini, nak menjaga aurat kaki, dll. Sudahnya basah-basah stokin kami sebab nak pakai balik lepas wudhu, sebab nak ke ruang solat wanita itu kena menempuh tok imam, pak bilal, abang rashid dulu.”

“Akhirnya, bila rasa remeh sangat maka ada golongan yang kat luar masjid jaga aurat, dalam masjid pula terbukak aurat. Dek rimas nak pakai stokin basah yang tapak dah hitam, malas nak belit shawl, tersingkap lah aurat dibalik kain itu.”

“Selain bab aurat, ada juga bab kebersihan. Banyak masjid atau surau yang tak sediakan tong sampah di tandas wanita. Sebenarnya, tong sampah adalah item wajib dalam tandas wanita. Kami ini istimewa, cukup bulan datang bulan. Wanita haid pun datang masjid untuk tujuan tertentu, teman kawan pengajian atau tazkirah. Ada juga golongan yang istihadhah iaitu keluar darah penyakit, dan ramai yang perlu bersuci kerana wadi.”

“Apa itu wadi, wadi ialah cecair yang keluar setelah seseorang wanita itu penat, contoh, penat shopping raya kat Jalan TAR, penat jalan kaki jauh-jauh nak pegi kerja, penat angkat-angkat barang. Wadi ini najis, perlu dibersihkan sebelum solat. Jadi, kami sangat-sangat memerlukan tong sampah untuk membuang pad atau pantiliner.”

“Harap sangat pihak-pihak masjid, dapat sediakan tirai yang betul-betul melindungi aurat kami. Banyak masjid atau surau, tirainya kadang jarang, kadang tak cukup panjang, ada yang tak pakai tirai, tapi pakai kayu sekeping-sekeping, celah-celah itu jelas boleh nampak abang rashid dan kawan-kawan bertadarrus.”

“Oleh itu, saya minta, pohon dan rayu, lepas ini kalau ada arkitek nak design masjid, design lah tempat wudhu itu bagi mudah wanita nak pergi, tanpa tempuh tempat lelaki. Kalau boleh tandas pun biar dekat juga dan tolong lah sediakan tirai atau penghadang yang melindungi aurat kami,” tulisnya.

Kalau semua masjid begini, pasti ramai lagi wanita akan teragak-agak untuk bersolat di masjid. Jadi, jika anda adalah pereka bentuk masjid ataupun AJK Masjid, prihatinlah dengan keperluan ini. Binalah masjid yang mesra wanita. – MissA/UtaraNews.com