Bekas ejen CIA minta hukuman mati

Bekas ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang didapati bersalah oleh Mahkamah Itali kerana menculik seorang imam warga Mesir lebih sedekad lalu, mahu kembali ke Itali untuk menjalani hukuman tetapi berharap dapat mengelak daripada dipenjara.

Sabrina de Sousa, 60 pemegang kerakyatan Amerika dan Portugis, akan meninggalkan Portugal untuk berdepan mahkamah Itali atas penculikan pendakwah radikal, Abu Omar dari jalan Milan pada 2003 dalam operasi yang dikatakan diketuai bersama CIA dan perkhidmatan perisikan Itali.

Dia dibicarakan tanpa hadir bersama 22 suspek lain.

Akhir Februari lalu, Presiden Itali, Sergio Mattarella, memberikan pengampunan separa iaitu penjara setahun, mengurangkan masa hukuman kepada tiga tahun dalam bentuk hukuman ringan dan tidak semestinya perlu dipenjara dan membenarkan tahanan untuk bekerja.

Itali menarik balik waran tangkap Eropah yang dikeluarkan selepas penangkapannya pada Oktober 2015 di lapangan terbang Lisbon.

Omar diculik pada 17 Februari 2003, sebelum dipindahkan ke Mesir di mana peguamnya mendakwa dia disiksa oleh AS dan sekutunya.

“Operasi ini diluluskan oleh peringkat tertinggi kerajaan AS,” kata de Sousa.

“Apa yang diberitahu kepada pegawai AS di Washington dan Kerajaan Itali ialah Abu Omar adalah pengganas berbahaya, atas alasan itu ketua CIA di Rome memperoleh kelulusan diperlukan,” tambahnya.

“Ternyata ia tidak benar dan Abu Omar dibebaskan dari penjara Mesir. Pegawai peringkat rendah seperti saya perlu membayar harga yang mahal atas keputusan pihak atasan yang kami tidak ketahui.” – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *